Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad menyantuni dengan pengunjung semasa mengadakan walkabout sempena Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 di Pasar Malam Seksyen 24, Shah Alam. Foto MUHD NA’IM, 09 NOVEMBER 2022.

SHAH ALAM – Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui Gerakan Tanah Air (GTA) kurang mendapat sambutan di beberapa kawasan yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Namun Pengerusi Penaja gerakan tersebut tidak menyatakan kawasan-kawasan yang kurang mendapat sambutan itu.

Sehubungan itu, katanya,, GTA akan berusaha untuk menjelaskan kepada pengundi tentang gerakan tersebut.

“Tentu ada kawasan-kawasan yang kurang baik (kurang dapat sambutan). Itu kita sedang usahakan supaya mereka (pengundi) faham apa GTA dan manfaat yang mereka akan perolehi kalau undi GTA,” katanya pada sidang media, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, calon-calon GTA yang bertanding di Selangor mempunyai peluang cerah untuk menang berdasarkan sambutan baik yang diterima.

Keyakinan yang sama disuarakannya calon GTA Parlimen Shah Alam Mohd Rafique Rashid Ali dari Parti Pejuang tanah Air (Pejuang).

“Di Selangor peluang GTA baik banyak tempat sambutan agak baik kalau kita lawat tempat-tempat. Tapi kita tidak banyak sepanduk dan bendera sebab kita tidak ada duit,” katanya.

Terdahulu Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang bersama calon Mohd Rafique berjumpa dengan pengundi di Pasar Malam Seksyen 24 Shah Alam.

GTA bertanding di 121 kawasan Parlimen pada PRU15.

Mahathir mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi manakala anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Presiden Pejuang bertanding di Jerlun.

Turut bertanding atas tiket GTA, bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kubang Pasu. – MalaysiaGazette