jufitri
Jufitri Joha berucap pada program ceramah di Bilik Gerakan Utama PH DUN Kota, Chengkau di Rembau, malam tadi.

REMBAU – Pakatan Harapan (PH) tidak sepatutnya mendiskriminasi mana-mana individu yang berbeza ideologi politik sekiranya diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah negara semula selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Calon PH bagi kerusi Parlimen Rembau, Jufitri Joha berkata, rakyat khususnya golongan muda mahu melihat amalan politik yang berteraskan kasih sayang.

Menurut beliau, mereka mahu melihat politik sederhana yang tidak ekstrem serta tidak melabel dan menjatuhkan hukum terhadap pihak lain.

“Anak muda sudah bosan dengan politik benci membenci, mereka sudah bosan dengan politik personaliti.

“Mereka nak lihat apa yang boleh ditawarkan secara serius oleh PH,” katanya ketika berucap pada program ceramah di Bilik Gerakan Utama PH DUN Kota, Chengkau di sini, malam tadi.

Jufitri menambah, PH juga mesti mendidik rakyat supaya berani memilih sesiapa sahaja tanpa ada ketakutan dalam diri mereka.

Selain itu, beliau memberitahu, PH perlu meyakinkan pengundi muda dan rakyat bahawa politik yang ingin dibawa mereka adalah berasaskan polisi.

Jufitri berkata, penduduk di Rembau mahu melihat apa yang ingin dibawa oleh PH ke kawasan Parlimen ini.

“Mereka nak lihat sejauh mana kerajaan P mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan

“Sejauh mana PH mampu mendaulatkan agenda keselamatan makanan,” jelasnya.

Beliau berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan serta Nazree Yunus dari Perikatan Nasional (PN), S. Tinagaran dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Ramly Awalludin dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dalam pertembungan lima penjuru di kerusi Parlimen Rembau. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast