Rezeki Puteri Sarah terus bertambah apabila dilantik duta Bodyflasshh Queen.

KUALA LUMPUR – Pelakon Puteri Sarah menyerahkan kepada peguamnya yang kini melakukan penelitian berhubung kenyataan salah seorang ahli keluarga pelakon Ira Kazar yang didapati melanggar perintah injuksi interim.

Jelas wanita berusia 37 tahun itu, ia berikutan kenyataan yang mengaitkan namanya dalam media sosial pada minggu lalu.

Jelas wanita itu, peguam yang mewakilinya telah menghantar satu notis komital atau penghinaan terhadap perintah injuksi mahkamah bertarikh 4 Julai kepada individu tersebut.

“Saya hendak maklumkan ada ahli keluarga pihak sana yang telah melanggar perintah injuksi. Jadi, hal berkenaan sudah diserahkan kepada peguam saya.

“Sepatutnya pihak sana diperintahkan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau menyebut nama saya di media sosial.

“Pihak peguam dapat mengesan ada individu daripada ahli keluarganya yang membuat kenyataan di media sosial dan itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya ketika ditemui pada majlis anjuran Body Flasshh apabila dilantik sebagai duta di sebuah hotel di sini, semalam.

Mengulas lanjut, isteri kepada pengarah Syamsul Yusof mengetahui perkara itu selepas dimaklumkan oleh warga maya.

“Jujurnya saya hanya dapat tahu perkara tersebut apabila diberitahu oleh netizen. Ikutkan saya memang tidak mengambil tahu sebab terlalu sibuk dengan kerja.

“Namun netizen sendiri yang maklumkan dan saya terus menyerahkan perkara itu kepada peguam untuk mendapatkan kepastian adakah melanggar atau sebaliknya.

“Jadi, peguam sudah mengesahkan ia melanggar dan surat daripada pihak peguam saya sudah diserahkan kepada individu tersebut semalam,” ujarnya.

Pada 28 Jun lalu, Puteri Sarah menerusi peguamnya menyerahkan perintah injuksi interim kepada pihak defendan.

Perintah itu dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, 24 Jun lalu agar defendan berhenti meluah atau menyebarkan apa-apa bentuk gangguan di media sosial atau mana-mana platform tentang beliau atau yang berkaitan dengan dirinya.

Perintah tersebut juga bagi memastikan tiada lagi gangguan dalam keadaan semasa terhadap Puteri Sarah.

Puteri Sarah berkahwin dengan Syamsul pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam serta Sumayyah. – MalaysiaGazette