Calon Barisan Nasional P.119 Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (tengah) bercakap kepada media selepas sesi walkabout Pasar dan Pusat Penjaja Wirawati, Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Foto MALAYSIA GAZETTE, 06 November 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad digesa mendedahkan butiran mesyuarat Jemaah Menteri tentang pengambilan 230 ekar tanah di Kampung Baru pada harga RM1,000 sekaki persegi ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pengesahan itu penting bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai terutama penduduk Kampung Baru berhubung isu berkenaan.

“Betulkah jemaah menteri dah luluskan tentang tawaran (pampasan) tanah Kampung Baru RM1,000 ini? Tahun bila ia dibentangkan? Kalau ada jemaah menteri dah luluskan, saya nak dapatkan pengesahan dari kerajaan.

“Benarkah Khalid sudah tawarkan kepada orang Kampung Baru dengan tawaran RM1,000? Kalau dah lulus, kerajaan sudah kena beli. Saya difahamkan ada orang setuju nak jual RM1,000, tetapi dia (Khalid) tidak mahu beli.

“Dia nak semua orang setuju, baru dia nak beli. Ini tawaran temberang,” katanya pada pemberita selepas membuat kunjungan di Kampung Pandan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan Khalid yang turut bertanding merebut kerusi Parlimen Titiwangsa berhubung kemampuan kerajaan PH untuk membiayai tawaran pengambil alihan tanah Kampung Baru yang dianggarkan bernilai RM10 bilion.

Terdahulu, Khalid berkata, tawaran pampasan sebanyak RM1,000 sekaki persegi untuk mengambil alih 230 ekar tanah di Kampung Baru sudah dilaporkan dalam kabinet, malah telah diumumkan secara terbuka.

Khalid turut mendakwa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) merupakan antara agensi yang bersetuju membiayai transaksi itu.

Johari yang juga bekas Menteri Kewangan II berkata, sekiranya jemaah menteri telah meluluskan pembelian tanah itu bermakna kerajaan sudah bersedia untuk membelinya.

Menurutnya, Khalis berdolak dalih mengenai perkata itu dengan memberi alasan pengambil alihan tanah di Kampung Baru memerlukan kesemua pemiliknya bersetuju untuk menjual.

Katanya, sebagai seorang menteri, Khalid perlu bertanggungjawab terhadap tawaran tersebut dan beliau tidak sepatutnya membuat tawaran jika tidak faham apa yang ditawarkan.

Sementara itu, Johari mempersoalkan kesediaan keempat-empat agensi itu yang didakwa Khalid telah bersetuju membiayai pembelian tanah di Kampung baru.

“Bila Khalid kata LTAT bersetuju mahu beli tanah, saya tidak pernah dengar agensi terbabit setuju untuk beri duit. Boleh semak dengan lembaga pengarah, tidak ada seorang daripada mereka bersetuju,” katanya. – MalaysiaGazette