KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) akan memastikan kestabilan dalam parti-parti komponennya jika ia memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin berkata, apa yang perlu dilakukan ialah parti komponen perlu sentiasa berkomunikasi dan menjaga hubungan baik bagi memastikan PH dapat menghabiskan tempoh mandat selama lima tahun yang diberi pengundi.
Beliau berpendapat, masa 10 tahun adalah tempoh ideal untuk menilai prestasi sesebuah kerajaan yang membabitkan impak-impak pentadbiran dan pelaksanaan dasar.
“Selepas lima tahun rakyat ada hak lagi untuk menilai prestasi kita kalau tak baik tukar, kalau baik bagi peluang lagi.
“Bagi saya paling ideal untuk tengok satu kerajaan sama ada baik atau tidak adalah 10 tahun,” katanya pada sesi soal jawab program Orang Muda Jom Bubble Tea di Sri Serdang, di sini, hari ini.
Justeru beliau berharap, akan ada keajaiban berlaku untuk PH menerajui kerajaan sekali lagi.
Bee Yin berkata, PH akan membuktikan kepada rakyat bahawa mereka layak mendapat kerajaan yang lebih kompeten, bebas rasuah dan lebih berjiwa rakyat. – MalaysiaGazette