Program Perumahan Rakyat (PPR) di Pantai Dalam, yang terletak dalam Parlimen Lembah Pantai.

KUALA LUMPUR – Pengundi Parlimen Lembah Pantai hanya melihat dua parti yang dominan sedang bertanding menuju pilihan raya akan datang iaitu calon daripada Pakatan Harapan (PH) iaitu Fahmi Fadzil dan Datuk Ramlan Askolani (Barisan Nasional (BN).

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, pengundi di kawasan berkenaan ada yang ingin menjatuhkan Fahmi, manakala ada sebahagian yang mahu beliau kekal.

Menurut Mohamad Hanafi, 44 meskipun beliau ingin wakil rakyat di kawasan berkenaan berubah pada kali ini, namun  tidak dapat menafikan Lembah Pantai kini kubu kuat PH.

“Saya sudah tiga tahun tinggal sini baru kali pertama akan mengundi di sini.

“PRU14 di sini PH menang tapi masa 22 bulan saya susah cari makan. Ekonomi makin buruk, tidak membangun. Berbeza sebelum PH menang terutama macam saya orang berniaga sendiri.

“Jadi sebab itulah saya mahu memilih parti Melayu kali ini tapi di kawasan ini memang BN nak menang susah jadi perlu usaha lagi. Tapi kalau boleh memang saya nak buat perubahan,” kata penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Permai itu.

Selain Fahmi dan Ramlan, dua lagi calon bertanding di kawasan tersebut adalah Fauzi Abu Bakar (Perikatan Nasional (PN) dan Dr Noor Asmah Mohd Razali, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Sathia 57 tahun pula mahu mengekalkan Fahmi sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai apabila menyifatkan kawasannya di Bangsar tidak mempunyai masalah sehingga kini.

Sathia

“Bagi saya calon kena yang berpendidikan, dan bebas rasuah dan yang boleh bawa negara ke hadapan, boleh maju lagi,” ujarnya.

Begitu juga Nirmala Dewi Subramaniam, 56 yang berkata, beliau memilih wakil rakyat yang muda untuk menjaga kawasan berkenaan.

Nirmala Dewi Subramaniam

Menurut beliau, kawasan bandar itu bukan sahaja memerlukan wakil rakyat yang boleh mengurus kawasan setempat malah yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara.

“Di sini masih lagi kubu kuat Pakatan Harapan. Saya lebih memilih wakil rakyat yang berpendidikan dan boleh bantu negara, bukan kawasan setempat. Kita perlu maju lebih daripada Singapura sebenarnya,” katanya lagi.

Pada PRU-14, PRU14, kerusi Lembah Pantai dimenangi Fahmi dengan majoriti 5,598 undi menewaskan calon BN, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Fauzi.

Fahmi mendapat 33,313 undi berbanding Raja Nong Chik (27,715 undi) dan Fauzi (5,277 undi).

Fahmi Fadzil

Sebelum itu kawasan berkenaan dipegang oleh Nurul Izzah Anwar sebelum bertanding di Permatang Pauh.

Nurul Izzah menjadi Ahli Parlimen di Lembah Pantai selama dua penggal sebelum itu.

Sementara itu, seorang lagi pengundi muda Lembah Pantai yang hanya ingin dikenali sebagai Lan berkata, beliau masih belum membuat keputusan untuk memilih wakil rakyat di situ.

Lan 21, yang bakal mengundi buat pertama kali berkata, generasi muda mahu calon yang boleh menawarkan keharmonian di antara semua kaum di kawasan itu.

Ujarnya, beliau tidak mahu wakilrakyat yang terlalu politiking kerana ia hanya akan memecahkan perpaduan kawasan setempat.

Memandangkan Lembah Pantai adalah satu kawasan bandar dan pelbagai kaum keharmonian itu lebih penting.

“Saya mahu pemimpin yang boleh mewujudkan keharmonian, tetapi saya belum nampak calon mana yang boleh menawarkan perkara itu di sini. Jadi saya masih berfikir lagi, masih menilai,” katanya. -MalaysiaGazette