ALOR GAJAH – Seorang penjual buah maut selepas motosikal ditunggangi bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Hutan Simpan, Masjid Tanah, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu mangsa, Azmi Jona, 30, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y125ZR dalam perjalanan dari Sungai Udang ke Kuala Sungai Baru.
“Hasil siasatan mendapati nahas dipercayai berpunca apabila motosikal mangsa hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.
“Akibatnya, mangsa bertembung dengan sebuah Perodua Axia dipandu lelaki berusia 45 tahun yang datang dari Masjid Tanah menghala ke arah Durian Tunggal,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, akibat kemalangan itu mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
“Ketika kejadian permukaan jalan basah kerana baru lepas hujan selain cahaya gelap dan hanya mempunyai lampu jalan di laluan satu lorong dua hala berselekoh itu.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Alor Gajah untuk bedah siasat dan setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette.