Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra dengan jentera ketika hadir mengunjungi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Barisan Nasional sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kem Terendak Sungai Udang, Melaka. Foto MALAYSIA GAZETTE, 10 November 2022.

MELAKA – Datuk Seri Ismail Yaakob secara dasarnya sudah bersetuju memperluaskan pemberian komputer riba secara percuma kepada pelajar M40 sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, berita gembira itu disampaikan kepadanya dalam pertemuan bersama Perdana Menteri, pagi tadi.

“Walaupun tidak dimasukkan dalam manifesto kumpulan M40, atas persetujuan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah berjumpa dengan saya pagi tadi.

“Beliau pada dasarnya telah bersetuju untuk meliputi (memperluaskan) pembahagian laptop (komputer riba) ini kepada anak-anak dalam kumpulan M40 sekali di seluruh negara,” katanya disertai tepukan gemuruh dalam ucapan perasmian Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Terendak, Sungai Udang, di sini hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid yang juga calon Parlimen Bagan Datuk berkata, BN bersedia menawarkan kemudahan komputer riba kepada pelajar golongan M40 dan guru yang mana tawaran baharu itu antara penambahbaikan yang perlu dilaksanakan dalam manifesto jika terus kekal mentadbir negara. – MalaysiaGazette