Sahruddin ketika ditemui di Bilik Gerakan Utama Perikatan Nasional di Pagoh, hari ini.

PAGOH – Perikatan Nasional (PN) Johor mensasarkan sekurang-kurangnya dapat menawan 10 hingga 15 kerusi Parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ini kerana, Johor merupakan negeri yang dipimpin Menteri Besar dari Barisan Nasional (BN), kata Pengerusi Badan Pimpinan Negeri (BPN), Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

“Jadi, kita berada di negeri pembangkang. Bagi saya sasar 10 hingga 15 (kerusi Parlimen) sahaja.

“Tetapi harus diingatkan Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, sebahagian Pahang dan sebahagian Perak, kami memang cukup yakin kita akan dapat banyak kerusi di situ,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Utama (BGU) PN Pagoh, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli pada Ahad lalu yang mendakwa, Pakatan Harapan (PH) yakin mampu menyapu bersih 11 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan, selain 19 daripada 22 kerusi di Selangor pada PRU15.

Beliau berkata, pihaknya turut menjangkakan PH bakal melakukan kejutan besar di Negeri Sembilan, selain berpotensi memenangi 13 hingga 15 kerusi di Johor.

Mengulas lanjut, Sahruddin yang merupakan bekas menteri besar Johor yakin akan ada pertambahan kerusi yang akan dimenangi PN di beberapa negeri seperti Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Beliau juga berkata, gelombang ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini boleh beralih ke PN kerana rakyat melihat isu berbeza waktu Pilihan Raya Negeri (PRN) dan PRU.

“Waktu PRU lebih fokus kepada isu-isu negara. Sebab itu ada manifesto yang saya rasa masyarakat rakyat lihat.

“Itu PN lebih yakin dan lebih dipercayai,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau ketika ditanya mengenai perjalanan kempen pilihan raya di Johor mengakui terdapat bahan kempen partinya yang rosak.

Namun, pihaknya bersangka baik dengan kejadian itu dan menganggap ia mungkin dirosakkan oleh haiwan seperti anjing ataupun ditiup angin.

“Kalau saya lihat di Pagoh ini nampak lebih harmoni. satu dua macam tumbang, tapi kita manusia kita bersangka baik jelah…mungkin ditiup angin, mungkin kena bawa dengan anjing, saya rasa di Pagoh ni ok Insya Allah,” tambahnya. – MalaysiaGazette