Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar

PUTRAJAYA – Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini menjelaskan kepada umum status tadbir urus portfolio beliau sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).

Katanya, sejak Dewan Rakyat dibubarkan pada 10 Oktober lalu dan fungsinya sebagai menteri selama 15 bulan telah menyaksikan perubahan positif landskap perundangan negara.

Perubahan itu, kata beliau, telah menepati keperluan semasa, memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat serta impak yang baik kepada sosioekonomi serta pertumbuhan negara.

Namun, kata beliau, masih terdapat pelbagai tugas belum diselesaikan dan demi kesinambungan serta penyelarasan dasar perundangan negara, perlu pewujudan semula Kementerian Undang Undang (KUU) bagi memastikan kecekapan dalam melaksanakan semua agenda perundangan dapat diteruskan.

“Cadangan ini telah saya kemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kini dalam tindakan agensi pusat.

“Bagi memastikan transformasi Parlimen yang telah dirancang, Akta Perkhidmatan Parlimen dan Pindaan kepada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 sedang dalam tindakan pihak Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU, JPM) dan Jabatan Peguam Negara.

“Susulan daripada pindaan perlembagaan yang merangkumi peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, pindaan juga perlu dibuat terhadap perlembagaan bagi larangan Ahli Dewan Negara bertukar parti,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Selain itu, menurut Dr. Wan Junaidi, pindaan Perlembagaan Persekutuan juga perlu dibuat bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada 10 tahun seperti mana dirancang sebelum ini.

Katanya, bagi memastikan Sistem Keadilan Jenayah di Malaysia sentiasa diberi perhatian, pindaan tujuh akta yang memansuhkan hukuman mati mandatori dan menetapkan budi bicara mahkamah perlu dibentangkan ke Parlimen dalam masa terdekat.

Ini termasuk peruntukan dalam Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah berkaitan jenayah anti-menghendap (anti-stalking).

“Sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga portfolio Parlimen dan Undang-Undang, saya sentiasa berdepan dengan banyak ekspektasi daripada pelbagai pihak berkepentingan.

“Ekspektasi ini merangkumi pelbagai reformasi yang perlu dilaksanakan oleh saya bersama agensi di bawah portfolio saya,” katanya.

Katanya, antara perkara penting dalam tindakan ialah RUU Pendanaan Politik, RUU pengurusan harta yang disita dan dilucut hak, transformasi kepada undang-undang insolvensi dan penambahbaikan sistem pilihan raya serta kajian pengurangan kos pilihan raya kecil, pilihan raya negeri dan pilihan raya umum.

Turut dalam tindakan juga melibatkan RUU Kebebasan Maklumat, pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Kajian Pengasingan/Pemisahan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Kajian Penetapan Badan Kawal Selia Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta kajian sistem perolehan untuk projek kerajaan.

Selain itu, kata beliau, penambahbaikan Perjanjian Malaysia 1963 juga perlu dilaksanakan dengan mengkaji persempadanan semula kawasan Parlimen bagi menambah kerusi Sarawak dan Sabah ke nisbah semasa perjanjian 1963 dan meminda Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan pelancongan ke dalam senarai bersama (kuasa Persekutuan dan Negeri).

Susulan lawatan beliau ke United Kingdom Jun lalu, katanya, terdapat beberapa perkara yang memberi iltizam kepadanya untuk mengkaji dan merangka kebolehlaksanaan beberapa entiti yang sama di Malaysia bagi mengukuhkan kerangka perundangan negara.

Antaranya, penubuhan Suruhanjaya Undang-undang (Law Commission), Suruhanjaya Amal (Charities Commission), Suruhanjaya Maklumat (Information Commission) dan Majlis Penghukuman (Sentencing Coucil).

Bagi tujuan itu, jelas beliau, semua agensi di bawah portfolionya telah dan sedang bertungkus lumus menyediakan kajian serta cadangan transformasi pentadbiran.

“Mereka berupaya melaksanakan perniagaan teras dengan efisien serta mengukuhkan jaringan kerja bersama agensi, jabatan, kementerian yang berkepentingan dalam memastikan undang-undang digubal atau dipinda sentiasa relevan untuk jangkamasa panjang demi kelestarian dan kemakmuran rakyat.

“Menjadi harapan yang tinggi agar inisiatif ini khususnya yang masih diusahakan berikutan penetapan tarikh pilihan raya 19 November ini dapat terus disempurnakan waima sesiapa jua yang bakal meneraju portfolio ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast