Beberapa kawasan di daerah SPT dilanda banjir kilat susulan hujan lebat sejak petang tadi.

SEBERANG PERAI – Sebanyak 23 lokasi dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT) khususnya sekitar Bukit Mertajam dilanda banjir kilat selepas hujan lebat kira-kira dua jam sejak petang tadi.

Antara lokasi yang dinaiki air adalah Taman Sentul, Kampung Dock, Taman Macang Bubok, Taman Seri Janggus Machang Bubok, Taman Pinggiran Alma, Kampung Baru Alma dan Taman Selamat.

Taman Tenang Berapit, Taman Sejahtera, Desa Damai, Taman Impian, Taman Sukun, Taman Kota Permai dan Taman Mangga.

Selain itu, Taman Jasa Intan, Taman Permai Jaya, Taman Pekaka, Taman Pinang, Jalan Tembikai, Taman Mutiara, Taman Saujana Indah dan Taman Jaya.

Setakat ini hanya satu PPS dibuka.

Bagaimanapun, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh ketika dihubungi berkata, satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini.

“Sehingga jam 9 malam semua lokasi tersebut masih mengalami banjir kilat dan PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) True Light, Perkampungan Juru telah dibuka.

”Bagaimanapun, saya tiada data sebenar jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di situ berikutan kerja-kerja pemindahan sedang dijalankan,” katanya.

Terdahulu, beberapa kempen serta ceramah politik membabitkan parti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional serta Pakatan Harapan terpaksa dibatalkan susulan hujan lebat serta beberapa kawasan dilanda banjir.

Beberapa kediaman turut dinaiki air.

Antara program yang dibatalkan termasuk ceramah wanita PH di Taman Impian; program turun padang calon PN Bayan Baru, Oh Tong Keong di Pasar Malam Sungai Ara serta program calon BN Bukit Bendera Richie Huan di Batu Feringghi turut dibatalkan.

Selain itu, ceramah Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di Ladang Valdor turut dibatalkan namun pejabat ketua menteri itu tidak menyatakan sebab mengapa ceramah tersebut dibatalkan. – MalaysiaGazette