Nooryana (tengah) menyantuni penduduk, nelayan sekitar Sungai Batu, Balik Pulau hari ini.

TELUK KUMBAR – Selepas bantu kempen calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Nibong Tebal, Nooryana Najwa Najib sekali lagi turun padang melawat beberapa kawasan dalam Parlimen Balik Pulau hari ini.

Anak perempuan Datuk Seri Najib Tun Razak itu turut sempat meluangkan masa bertemu dan beramah mesra dengan penduduk, peniaga serta nelayan di kawasan Sungai Batu.

Jelasnya, objektif utama beliau turun padang adalah untuk menyantuni golongan nelayan di sekitar kawasan itu sekali gus membantu serta menyokong kempen calon BN, Datuk Shah Headan Ayoob Shah.

Nooryana berbual dengan penduduk setempat.

“Saya percaya sekiranya Datuk Shah Headan diberikan mandat beliau akan membela nasib golongan nelayan di sini.

“Beliau seorang yang suka berkhidmat dan saya tahu kalau seseorang tu kawan setia ayahanda (Najib) saya, memang jenis ringgan tulang membantu rakyat,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap pengundi bagi Parlimen Balik Pulau memilih calon BN sebagai wakil rakyat agar dapat membawa permasalahan rakyat di peringkat Parlimen sekali gus membela nasib mereka.

Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah (BN) berdepan lima saingan membabitkan penyandang kerusi itu Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Pakatan Harapan), Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid (PN); Ahmad Fazli Mohammad ( GTA) serta dua calon Bebab, Datuk Seri Sabaruddin Ahmad (Bebas) dan Datuk Seri Johnny Ch’ng Ewe Gee.

Kerusi Parlimen Balik Pulau dianggap antara kerusi panas pilihan raya di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). – MalaysiaGazette