Nooryana Najwa Naib (depan) berucap pada ceramah perdana BN di Sungai Acheh, Nibong Tebal, Pulau Pinang malam tadi.

NIBONG TEBAL – Anak perempuan Datuk Seri Najib Tun Razak, Nooryana Najwa menyeru seluruh rakyat Malaysia memilih kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 19 November ini bagi memastikan kestabilan politik dalam negara.

Katanya, kestabilan politik itu penting sususlan seluruh dunia berdepan cabaran bencana ekonomi tahun depan.

“Kalau kerajaan tak stabil rakyat yang akan susah ini kerana tahun depan mungkin kita akan ada bencana ekonomi ditambah pula dengan inflasi tinggi, nilai matawang ringgit makin lemah.

Nooryana Najwa Najib

“Negara lain sudah bersedia berdepan gelombang itu, selain beri amaran kepada rakyat mereka namun, Malaysia masih belum mula lagi disebabkan perlu menstabilkan politik negara terlebih dahulu.

“Kalau nak selamat, kita kena ada kestabilan politik. Kita tak nak menang nipis, kita nak menang besar, ada mandat besar untuk anak muda dan keluarga,” katanya ketika berucap pada ceramah perdana BN di Sungai Acheh, di sini malam tadi.

Hadir sama, calon BN Parlimen Nibong Tebal, Datuk Seri RS Thanenthiran dan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Shaik Hussein Mydin.

Dalam ucapan sama, Nooryana menyentuh perbualan antara beliau dengan ayahnya dalam satu perjumpaan keluarga di Penjara Kajang, Selangor baru-baru ini dengan mengatakan bekas perdana menteri itu rindu untuk bersama akar umbi serta penyokong pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Beliau (Najib) tanya saya mereka (rakyat) sudah lupakannya? Beliau kecewa tidak dapat beramah mesra bersama akar umbi.

“Ayah memang tertekan dengan perkara sebegini tambahan pula 46 tahun melibatkan diri dalam pilihan raya, namun beliau seorang yang penyabar.

“Saya harap 19 November ini kita berikan hadiah dan berita baik kepada bossku di Kajang.

Tambahnya, meskipun tembok penjara memisahkan ayahnya dengan keluarga namun bekas ahli Parlimen Pekan itu tetap memikirkan perihal rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast