Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyantuni masyarakat Orang Asli di Kampung Bongkok, Kemayan di Bera hari ini.

BERA – Calon dan penyokong parti politik yang hampir memasuki minggu kedua berkempen sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diingatkan sentiasa berhati-hati bagi mencegah penularan kembali Covid-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, untuk melindungi diri sendiri, setiap inndividu perlu memainkan peranan dengan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.

“Sebab itu, kalau tengok, masih ada yang pakai pelitup muka sewaktu berkempen walaupun itu tidak diwajibkan.

“Kalau tempat bersesak-sesak, kitalah yang patut mengurangkan kesan yang buruk kepada kita.

“Kita tak tahu siapa pembawa Covid-19 dalam kalangan kita semua, jadi saya berharap kita berhati-hatilah, sanitize seperti zaman kita Covid-19 dulu, bersalam dengan orang guna sanitizer dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) Bera berkata demikian kepada media selepas Program Moh Ngeteh Santai Orang Kita di Kampung Orang Asli Bongkok, Kemayan petang tadi.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin menasihati orang ramai supaya tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) walaupun pelitup muka tidak diwajibkan.

Menurut beliau, SOP pengundi Covid-19 juga telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya dan perkara itu akan diumumkan sebelum hari pengundian. – MalaysiaGazette