Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – RadpidKL perlu menyediakan ganti rugi dalam bentuk perkhidmatan percuma kepada pengguna LRT yang terjejas bagi tempoh sekurang-kurangnya selama sebulan selepas perkhidmatan pengangkutan awam di laluan terlibat dipulihkan.

Presiden Lantikan Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, perkhidmatan percuma berkenaan harus terpakai untuk semua jenis pengangkutan awam yang disediakan oleh RapidKL, termasuk LRT Laluan Ampang dan perkhidmatan bas dalam bandar.

”Bentuk ganti rugi sedemikian adalah tindakan paling minimum boleh diambil RapidKL memandangkan ramai penumpang terpaksa mengeluarkan kos tambahan untuk urusan seharian berikutan insiden gangguan perkhidmatan LRT yang dialami.

”Dengan adanya perkhidmatan percuma itu, ia sedikit sebanyak boleh membantu warga kota yang terjejas menampung perbelanjaan luar jangka kerana terpaksa beralih menggunakan mod pengangkutan alternatif seperti e-hailing dan teksi yang memerlukan perbelanjaan lebih tinggi, di samping kesulitan lain yang timbul susulan gangguan operasi LRT,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, gangguan sistem bagi laluan LRT Kelana Jaya telah memberi kesan buruk kepada penduduk di Ampang, yang kebanyakannya bergantung kepada pengangkutan awam itu untuk berulang alik ke tempat kerja setiap hari.

Malah, menyifatkan kerosakan dan gangguan ini adalah insiden paling malang yang sepatutnya dapat dielakkan.

”Saya sendiri menerima banyak aduan daripada penduduk kawasan Ampang mengenai perkara ini dan berasakan adalah tidak adil untuk mereka menanggung perbelanjaan tambahan sebegitu, lebih-lebih lagi ramai yang baru bangkit semula untuk memulihkan ekonomi diri dan kehidupan keluarga selepas pandemik Covid- 19,” ujarnya.

Zuraida turut meminta meminta kerajaan, yang mempunyai kepentingan dalam RapidKL untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab atas gangguan ini atau dalam erti kata lain “heads must roll”.

GLC mesti mendahului dalam perihal akauntabiliti, terutama jika melibatkan syarikat yang menyediakan perkhidmatan kritikal seperti pengangkutan awam.

Ketua-ketua GLC boleh mengambil teladan daripada tindakan Datuk Azhar Abdul Hamid yang meletak jawatan serta merta sebagai Pengerusi dan Pengarah Mass Rapid Transit (MRT) Corp berikutan kemalangan di tapak kerja landasan MRT di Kota Damansara yang meragut nyawa tiga pekerja pada 2014, tambahnya lagi. – MalaysiaGazette