KUALA LUMPUR- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan laluan khas Perkhidmatan Bas GOKL membabitkan enam bas mulai hari ini.
Ia susulan gangguan perkhidmatan LRT bagi laluan Kelana Jaya, sejak Rabu lalu.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah dalam kenyataannya hari ini berkata, laluan khas itu meliputi Pasar Seni, Masjid Jamek dan KLCC dengan kekerapan setiap 10 minit pada waktu puncak iaitu 7 pagi hingga 9 pagi dan 5 petang hingga 8 malam.
Tambah beliau, perkhidmatan Bas GOKL bagi 11 laluan sedia ada berjalan seperti biasa.
Selain itu, DBKL turut menambah dua lokasi ‘point duty’ di Jalan Jelatik dan Jalan Datuk Keramat daripada 13 ‘point duty’ sedia ada bagi kekerapan penyuraian trafik.
“Penambahan bilangan warden trafik di kawasan yang mempunyai aliran trafik yang tinggi dengan kekuatan keseluruhan seramai 45 orang,” katanya.
Katanya, DBKL sedia memberikan bantuan dan kerjasama kepada pihak Prasarana Malaysia Berhad, Polis Diraja Malaysia dan agensi sahabat yang lain bagi memastikan kelancaran trafik serta memberi kemudahan kepada pihak yang terkesan.- MalaysiaGazette















