Datuk Seri Hasni ketika menghadiri Majlis Kenduri Sekampung di Kampung Parit Salman, Kluang Johor, hari ini.

KLUANG – Rakyat negeri Johor membuktikan mereka mahu sebuah kerajaan yang stabil dan progresif apabila memilih Barisan Nasional (BN) untuk memimpin negeri itu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad berkata, beliau yakin rakyat negeri itu akan membuat keputusan yang sama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Katanya, kemenangan parti itu menguasai 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) yang lalu membolehkan BN membuat perancangan jauh ke depan.

“Apabila kita menguasai PRN, kita bukan sahaja mengembalikan semula Johor sebagai kubu kuat dan tiang seri BN tetapi kita melihat lebih jauh.

“Kita meletakkan orang muda dalam pentadbiran kerajaan negeri yang juga memberi gambaran kerajaan BN bukan hanya mahu memerintah satu atau dua penggal sahaja, kita mahu terus membangunkan negeri dan menyumbang kepada negara,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Kenduri Sekampung di Kampung Parit Salman, di sini hari ini.

Dalam pada itu ketika mengulas kenyataan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong yang menyatakan peratusan keluar mengundi sehingga 70 peratus akan memberikan kemenangan kepada Pakatan Harapan di Johor, Hasni berkata, BN tidak gentar dengan perkara itu.

Jelas beliau, BN mempunyai pengundi tegar dan kemenangan parti itu dalam PRN baru-baru ini membuktikan ia mempunyai pengaruh yang kuat di Johor.

“Semua parti yang bertanding yakin bahawa penyokong mereka akan keluar mengundi.

“BN juga mempunyai pendapat yang sama malah keputusan PRN yang lalu menunjukkan kami mempunyai penyokong paling ramai,” katanya lagi.- MalaysiaGazette