Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – UMNO mengingatkan rakyat agar tidak terpesona dengan janji Perikatan Nasional (PN) untuk memberikan cuti dua hari sekiranya parti itu menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, jangan kerana mahu dapat cuti dua hari itu, kesudahannya rakyat dapat ketidakstabilan dan ketidakmakmuran berpanjangan.

“Dulu rakyat pernah dapat cuti dua hari daripada Pakatan Harapan (PH) selepas PRU14, kesudahannya sebahagian rakyat dapat ‘cuti panjang’ disebabkan hilang pendapatan atau pekerjaan.

“Oleh itu, jadikan pengalaman kerosakan sosioekonomi lalu sebagai iktibar apabila dihidangkan sekali lagi dengan tawaran yang sama oleh lawan BN.

“Usah gadai masa depan negara hanya kerana terpesona dengan cuti singkat 48 jam berbanding musibah terpaksa ditempuhi untuk tempoh yang lama,” katanya menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, berbanding tawaran BN, memberi cuti bergaji pada hari lahir yang bersifat komprehensif dan berkesan dalam menjaga kebajikan serta mengiktiraf sumbangan golongan pekerja.

“Masa tidak menunggu kita, jangan kata 48 jam yang ditawarkan, lima jam pun sudah cukup untuk lawan BN menambahkan lagi kerosakan kepada negara.

“Memang benar masa tidak menunggu kita kerana dunia diramalkan berdepan kemelesetan ekonomi dunia tahun depan.

“Malaysia hampir pasti tidak terlepas daripada tempiasnya dan segala perancangan untuk mendepaninya perlu diperkukuh dan distabilkan,” ujar beliau.

Kata beliau, satu-satunya yang dapat memastikan kestabilan dan pengukuhan itu ialah dengan menggembalikan kerajaan BN yang mutlak dan dominan pada 19 November ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast