Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis hari ini mengesahkan lelaki yang menurunkan bendera parti Pakatan Harapan (PH) di hadapan Muzium Negara dalam sebuah video tular di media sosial adalah ejen pemantau PH untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Amihizam Abdul Shukor, berkata tindakan lelaki tersebut adalah berdasarkan arahan yang dikeluarkan Ketua Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bersama wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) PP-KPR Parlimen Lembah Pantai.

“Arahan tersebut dikeluarkan setelah perbincangan dibuat dengan wakil calon Parlimen Lembah Pantai kerana pemasangan bendera tersebut telah menutup pagar bahagian hadapan Muzium Negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan sebarang video atau maklumat tanpa menyemak kesahihannya terlebih dahulu kerana tindakan tidak bertanggungjawab itu boleh menggugat ketenteraman awam,” katanya.

Amihizam berkata orang ramai juga diingatkan supaya tidak melakukan sebarang perbuatan yang bercanggah dengan undang-undang dan peraturan bagi memelihara keamanan sepanjang berkempen.

Semalam, tular satu video berdurasi 34 saat memaparkan seorang lelaki menurunkan bendera PH di hadapan Muzium Negara. Tindakan lelaki tersebut telah dirakam seorang individu yang selepas itu memuat naik ke media sosial tanpa bertanyakan tujuan lelaki itu berbuat demikian.  – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast