Khairy Jamaluddin.-MUHD NA’IM, 11 NOVEMBER 2022.

CYBERJAYA – Walaupun popularitinya naik mendadak di Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin tetap bersikap rendah diri apabila menganggap dirinya masih ‘underdog’ untuk menawan Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Calon Barisan Nasional (BN) itu berkata, beliau akan melakukan yang terbaik biarpun berdepan kubu kuat pembangkang dengan tempoh berkempen yang sudah masuk  ‘separuh masa’,

“Dalam hidup mesti yakin, tapi keyakinan mesti diimbangi dengan harapan yang realistik. Ini kawasan susah untuk BN. Majoriti bukan sikit 26,000, kawasan bandar dan boleh dikatakan kubu Pakatan Harapan (PH).

“Saya masih lagi anggap diri saya ‘underdog’ di Sungai Buloh. Namun cuba berjumpa seramai mungkin pengundi, yang tidak dapat jumpa itu kita cuba mendekati mereka melalui media sosial.

“Kita sudah hampiri separuh masa kempen, saya akan cuba yang terbaik, ia bukan senang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Majlis Pengoperasian Hospital Cyberjaya di sini hari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (tengah) bergambar bersama petugas Hospital ketika menghadiri lawatan kerja dan Majlis Pelancaran Pengoperasian Hospital Cyberjaya di Hospital Cyberjaya, Foto MUHD NA’IM, 11 NOVEMBER 2022.

Mengulas mengenai kenyataan calon PH, Datuk R Ramanan bahawa pengundi Sungai Buloh patut memilih pemimpin yang menjaga kawasan dan bukan sibuk berpolitik mahu menjadi Perdana Menteri, Khairy yang Menteri Kesihatan berkata, tidak menjadi masalah untuk  menjaga kawasan dan mempunyai cita-cita peringkat kebangsaan.

Malah jelas beliau, ia menjadi kelebihan untuk memegang jawatan di peringkat kerajaan untuk membawa masalah rakyat dengan lebih pantas.

“Selama ini saya menteri, tapi jaga kawasan saya dengan baik, jadi di Sungai Buloh pun boleh buat benda yang sama.

“Sekiranya dilantik di peringkat Kabinet sekali pun saya rasa tidak ada masalah untuk jaga kawasan, mungkin lebih daripada itu, dengan pengaruh sebagai menteri, lagi banyak penyelesaian yang saya boleh bawa ke kawasan Parlimen Sungai Buloh,” katanya.

Ditanya mengenai kemampuan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan mengekalkan kerusi Parlimen Rembau miliknya sebelum ini,, Khairy berkata Mohamad Hasan calon berwibawa dan mampu mengekalkan kemenangan BN di situ.

“Saya doakan kemenangan Tok Mat (Mohamad Hassan) di Rembau, dia bukan orang asing, ketua bahagian di sana, sebagai Menteri Besar pun banyak jasa dia, sangat popular dan saya yakin dia berjaya,” katanya. – MalaysiaGazette