Seorang nenek memeluk Noraini Ahmad yang datang menziarahnya di Parit Sulong ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di sini.

PARIT SULONG – Tidak pernah ada mana-mana mesyuarat sama ada di peringkat UMNO mahupun Barisan Nasional (BN) membincangkan mengenai calon lain, selain daripada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri.

Ini kerana, sejak dari awal lagi BN secara konsisten menamakan Ismail Sabri sebagai calon tunggal untuk diangkat memegang jawatan utama tersebut sekiranya BN diberi mandat membentuk kerajaan selepas 19 November ini, kata Ketua Wanita BN, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Menurut beliau, serangan yang ditujukan kepada BN oleh parti-parti lawan apabila memainkan isu pelantikan Ismail Sabri bagi jawatan itu membuktikan mereka sedang ketandusan idea.

“Saya hendak beritahu, rakyat pada hari ini sudah celik dan matang politik. Mereka tahu parti mana yang mampu mentadbir dengan baik.

“Masing-masing sudah punya rekod. Rakyat tidak lagi boleh dikelirukan dengan isu-isu murahan macam ini,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui selepas mengadakan Program Ziarah Kasih di sini.

Noraini Ahmad

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO berkata, pihaknya faham dan menyedari berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, kuasa melantik Perdana Menteri adalah hak mutlak Yang di-Pertuan Agong dan BN telah bersetuju menamakan Ismail Sabri sebagai calonnya.

Katanya, rakyat pada hari ini mahu melihat sebuah kerajaan yang stabil serta mampu memberi kemakmuran kepada negara dan inilah agenda nasional yang jauh lebih besar ditawarkan oleh BN.

“Kita telah lancar Perancangan Amal dan Usaha (PADU) PRU15 Barisan Nasional. Ikhtiar, ini bukan omongan kosong. BN punya trek record yang baik lebih 60 tahun mentadbir.

“Kita tidak pernah ketepikan rakyat, kebajikan mereka sentiasa dijaga, agama kita terpelihara, ekonomi kita makmur sejahtera. Pakej ini ada dalam Barisan Nasional.

“Cukuplah sekali. Rakyat pun sudah celik untuk menilai kemampuan parti politik negara ini,” ujar beliau yang juga merupakan calon BN, Parlimen Parit Sulong bagi PRU15. – MalaysiaGazette