Kenderaan Toyota Vellfire milik isteri seorang lelaki yang menjalankan kegiatan kereta sewa haram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 di Sepang ditahan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan. Foto: JPJ Selangor.

SEPANG – Seorang lelaki yang menggunakan Toyota Vellfire milik isteri untuk menjalankan kegiatan kereta sewa haram atau ‘ulat’ bagi menarik pelancong asing menggunakan perkhidmatannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), di sini, ditahan pihak berkuasa pada Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, siasatan mendapati lelaki tersebut mengenakan bayaran sebanyak RM180 kepada penumpang untuk ke ibu negara.

“Toyota Vellfire yang dipandu lelaki tempatan berusia 42 tahun itu berjaya ditahan ketika hendak membawa tiga penumpang iaitu pelancong warga Jepun ke ibu negara,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, siasatan mendapati, lelaki yang mendakwa beliau terpaksa menjalankan kegiatan kereta sewa haram untuk mendapatkan pendapatan sampingan itu menggunakan kenderaan milik isterinya.

Menurut Khairul Khar, lelaki itu kini ditahan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Sesiapa yang bersubahat terlibat dalam kegiatan ‘ulat’ juga boleh didakwa di bawah Seksyen 243(1) di bawah akta yang sama, ujarnya. – MalaysiaGazette