Calon Barisan Nasional P.113 Sepang, Anuar Basiran bercakap pada media selepas selesai hadir Program Beramah Mesra bersama Komuniti Orang Asli di Kampung Sungai Melut, Sepang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 12 NOVEMBER 2022.

SEPANG —  Selama 10 tahun penduduk Sepang menjadi masyarakat terpinggir dan dipinggirkan daripada sebarang pembangunan kerana wakil rakyatnya ‘hilang’.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sepang, Anuar Basiran berkata, tidak kira di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen, wakil rakyat tidak pernah turun menjenguk penduduk di kawasan sekitar.

“Setelah 10 tahun Sepang ini tidak diwakili BN, maka mereka (penduduk) ini menjadi masyarakat yang terpinggir dan dipinggirkan daripada sebarang pembangunan di daerah dan Parlimen ini.

“Saya amat kesal dengan perkhidmatan yang diberikan oleh wakil rakyat dari Pakatan Harapan (PH) atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tidak peduli masyarakat orang asli yang sebenarnya memainkan peranan amat penting di kawasan Sepang ini.” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai hadir Program Beramah Mesra bersama Komuniti Orang Asli di Kampung Sungai Melut, Sepang, hari ini.

Anuar Basiran ketika bermain takraw bersama sebahagian penduduk ketika hadir pada Program Beramah Mesra bersama Komuniti Orang Asli di Kampung Sungai Melut, Sepang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 12 NOVEMBER 2022.

Terdahulu beliau sempat beramah mesra sambil diiringi penyanyi terkemuka Acong Sweetchild dan bermain sepak takraw bersama golongan muda di situ.

Mengulas mengenai isu yang akan diutamakan jika diberi mandat untuk menjadi wakil rakyat Sepang, beliau berkata, terdapat tiga isu yang sudah dikenal pasti dan akan diketengahkan.

Antaranya isu tanah rizab adat orang asli dan isu tanah tambahan di Sepang yang juga melibatkan kediaman Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

“Hari ini kita sudah turun di beberapa kawasan di Sepang ini, yang mana di bandar pun berdepan masalah sama. Kalau pergi ke Cyberjaya atau Kota Warisan, masalah yang timbul adalah perumahan untuk golongan B40.

“Masalah ini bukan sahaja berlaku di Sepang tetapi seluruh Selangor yang hari ini hanya ada rumah mampu tengok, kita tak ada rumah mampu milik.” katanya.

Calon Barisan Nasional P.113 Sepang, Anuar Basiran beramah mesra bersama Komuniti Orang Asli di Kampung Sungai Melut, Sepang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 12 NOVEMBER 2022.

Tambahnya lagi, di Cyberjaya, Rumah Selangorku bukan berharga RM100,000  ataupun RM150,000, langsung tidak mampu dimiliki oleh golongan itu.

Selain itu menurut beliau, isu banjir yang berterusan melanda beberapa kawasan di dalam Sepang juga akan dibawa ke Parlimen jika diberikan mandat sebagai wakil rakyat.

Kata Anuar, jika BN berjaya menang di Sepang, parti itu akan memfokuskan untuk mengambil alih tiga kerusi DUN Sepang pada PRN Selangor yang bakal diadakan.

Berbaki kira-kira tujuh hari lagi sebelum hari membuang undi, Anuar tetap yakin kerana sudah bersama masyarakat di kawasan ini selama lebih 21 tahun.

“Sebagai calon underdog, saya bukan calon pilihan tapi saya ada keyakinan cukup tinggi kerana saya ada bersama masyarakat Sepang sudah lebih 21 tahun. Saya bukan orang luar yang mereka tak kenal.”

“Tanpa sebarang jawatan yang besar pun saya sudah kerja untuk mereka, apatah lagi bila saya dipilih diangkat menjadi wakil rakyat. Saya akan membuat yang lebih baik dari sebelum ini” ikrarnya.

Anuar akan mencabar calon Perikatan Nasional, Datuk Seri Rina Harun, Raj Muni Aiman Athirah  mewakili Pakatan Harapan dan Datuk Seri Nageswaran Ravi dari Parti Rakyat Malaysia.

Turut bersaing, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim calon dari Parti Pejuang yang mewakili  Gerakan Tanah Air selain tiga lagi calon bebas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast