Perdana Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap kepada media selepas Majlis Perasmian Karnival Anak Muda Gegor Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 12 NOVEMBER 2022.

BERA – “Anwar tak baca atau sengaja tak nak ambil tahu?”

Itu bidas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai usaha kerajaan menangani masalah berkaitan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi yang mahu perdana menteri memohon maaf kepada warga ATM ekoran banyak dakwaan kes salah laku berkaitan projek melibatkan ketenteraan di negara ini.

“Mana yang belum selesai? LCS (kapal tempur pesisir pantai) tindakan sudah diambil. Menteri Kanan Pertahanan (Datuk Seri Hishammuddin Hussein) sudah buat kenyataan beberapa kali. Dia tak baca atau sengaja tak nak ambil tahu?

“Hishammudin juga telah membuat penjelasan yang syarikat Perancis dan Boustead ambil alih projek, saya pun tahu dari media,” kata Ismail Sabri pada sidang media selepas merasmikan Karnival Keluarga Malaysia Anak Muda Gegor Bera di sini hari ini.

Dari segi mereka yang dituduh mengenai penyelewengan LCS, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah meenyiasat dan ada diantaranya sudah di bawa ke mahkamah, katanya.

Beliau juga menyelar Anwar kerana mempertikaikan undi pos dalam kalangan anggota ATM di Bera sedangkan satu negara melakukannya mengikut prosedur Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“(Undi pos) bukan terkejut, bukan undi itu di Bera lebih awal malah di seluruh negara. Ia tarikh yang ditetapkan melalui SPR berdasarkan akta,” katanya.

Terdahulu, Anwar mendakwa ada maklumat mengenai anggota ATM mengundi awal di Bera dan setiap seorang diberi RM300.

Bagaimanapun, ia dinafikan Ismail Sabri dan mahu Presiden PKR itu memohon maaf kepada anggota tentera dan SPR pula mahu Anwar memberi bukti untuk menjalankan siasatan.- MalaysiaGazette