Calon Barisan Nasional P.151 Simpang Renggam, Datuk Hasni Mohammad beramah mesra dengan penduduk setempat selepas menunaikan solat jumaat sebelum menyambung aktiviti kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Surau Al Firdaus, Taman Harmoni Simpang Renggam, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 11 NOVEMBER 2022.

KLUANG – Pengundi Simpang Renggam menaruh harapan besar terhadap calon Barisan Nasional (BN), Datuk Hasni Mohamad untuk membawa pembangunan serta menjaga kebajikan penduduk di kawasan itu.

Ahmad Mahmood Ismail,56, yang merupakan anak jati Simpang Renggam memberitahu, banyak isu gagal diselesaikan Pakatan Harapan (PH) di kawasan itu.

”Apa yang kita minta dan mohon, tidak ditunaikan.

“Janji-janji yang dibuat semasa kempen PRU14, langsung tidak dilaksanakan.

“Jalan kampung ini contohnya, tidak siap sampailah sekarang.

“Harapan saya pada Hasni besar, jika menang nanti bawalah banyak pembangunan di sini kerana selama beliau menjadi Menteri Besar Johor, dia seorang yang berwibawa,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette.

Untuk rekod, pada PRU14, Parlimen Simpang Renggam dimenangi bekas Menteri Pelajaran, Maszlee Malik daripada PH.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Tohrib Sayuti, 58, yakin Hasni adalah seorang pemimpin yang bukan calang-calang.

Katanya, dia gembira dan berbangga apabila Hasni dicalonkan oleh BN untuk bertanding di Parlimen Simpang Renggam.

“Alhamdulillah, kami penduduk kampung gembira bila Hasni jadi calon wakil rakyat, dia bukan calang-calang orangnya. Semasa penduduk kampung dimaklumkan dia (Hasni) jadi calon dalam satu mesyuarat, memang kami gembiralah untuk sambut dia.

“Kami suka dia kerana Hasni lebih banyak buat kerja daripada bercakap, apa yang dicakap semuanya mengenai rakyat. Inilah ciri-ciri pemimpin kami mahu,” ujarnya bersungguh-sungguh.

 

Zuraidah Masri

Suri rumah, Zuraidah Masri, 48, pula berkata, kepimpinan Hasni semasa menjadi Menteri Besar dan Ahli Dewan Undangan Negeri di Benut cukup terserlah.

“Kita nampak banyak perubahan dilakukan di Benut, kita harap perkara sama dibawa dan dibangunkan di Simpang Renggam terutama dalam aspek mencipta pekerjaan bagi anak-anak muda dan kemudahan sosial lain.

“Memang rasa syukur, Alhamdulillah bila tahu dia dicalonkan di sini,” tambah beliau.

Manakala Jamaliah Rahmad pula menyatakan menyokong Hasni berdasarkan trek rekodnya sebagai bekas Menteri Besar Johor.

Jamaliah Rahmad

Katanya, kepimpinan Hasni cukup terserlah selepas kemelut dalam kepimpinan daripada Pakatan Harapan sebanyak dua kali.

“Saya ingat lagi ketika itu betapa tidak stabilnya kerajaan negeri, bertukar Menteri Besar dua kali dan akhirnya masalah selesai selepas Hasni dilantik.

“Dia tidak tunggu lama untuk selesaikan isu-isu rakyat yang tertunggak dek kemelut oleh PH.

“Insya Allah Datuk Hasni akan berjaya dan mendapat sokongan padu sepenuhnya. Memang seronoklah,” katanya.- MalaysiaGazette