KUALA LUMPUR – Selepas memasuki hari kelapan berkempen, Barisan Nasional (BN) melahirkan keyakinan akan mendapat majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, keyakinan itu berdasarkan kajian di lapangan serta persiapan jentera dan kredibiliti calon yang diletakkan di kerusi-kerusi Parlimen.
“Sehingga sekarang kita sudah melepasi angka 112 kerusi bagi mendapatkan majoriti mudah bagi menerajui kembali kerajaan.
“Ada tempat-tempat yang kita rasakan kita tidak melalui proses yang sukar itu dan akan lebih mudah lagi, tidak ada proses damage control, jentera sudah bermula awal sejak penamaan calon dan berjalan dengan lancar,” katanya dalam sidang media di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), hari ini.
Shabery berkata, BN juga yakin dapat merampas kembali kerusi-kerusi yang pernah kalah pada PRU14 lalu antaranya Parlimen Titiwangsa dan Pagoh.
“Sebagai contoh kerusi Titiwangsa, di sana tempat yang rancak dan kita percaya akan memperoleh kemenangan daripada kekalahan yang lepas.
“Kita rasa yang menarik juga ada kerusi panas contohnya Pagoh kita rasa BN akan menang pada kali ini. Antara sebabnya kerana dahulu Muhyiddin bergantung banyak kepada pengundi Cina tetapi Bersatu bukan lagi parti yang mendapat sokongan daripada undi Cina,” jelasnya.
Kerusi Parlimen Titiwangsa ditandingi Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan kerusi Pagoh ditandingi Datuk Seri Razali Ibrahim.
Dalam pada itu, BN menjangkakan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan memenangi 26 daripada 32 kerusi Parlimen yang ditanding oleh parti itu sekali gus memudahkan BN bersama-sama GPS untuk membentuk kerajaan.
“Kita juga mengambil kira BN lebih mudah untuk mendapat sokongan daripada GPS di Sarawak kerana kita satu-satunya komponen yang menunjukkan hormat mereka dengan tidak meletakkan sebarang calon.
“Ini berbeza dengan PH dan PN, mereka mengganggu dan tidak menghormati gabungan GPS di sana dan sudah tentunya akan menjadi kawan kepada BN dalam pembentukan kerajaan pada masa akan datang,” katanya.
Ditanya mengenai kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai dakwaan terdapat anggota tentera khususnya di Parlimen Bera dibayar RM300, Shabery berkata, ia sekadar langkah terdesak Anwar.
“Dia boleh buat laporan polis dan SPR, itu langkah beliau untuk meninggalkan kesan psikologi kepada calon PM kita,” katanya. – MalaysiaGazette