Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim (kiri).

KUALA LUMPUR – Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan apabila kereta yang dipandu ketika pusingan kelayakan GT World Challenge Australia terbabas dan terbalik di litar Mount Panorama, Bathurst, New South Wales, Australia, hari ini.

Berita itu dizahirkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dalam hantaran di media sosial, Facebook baginda.

Baginda menzahirkan rasa syukur dan turut memberikan kata semangat kepada anakandanya.

“Saya bersyukur Tunku Putera tidak cedera. Pastinya tengah terkejut, tetapi dia ok. Saya memberitahunya untuk terus kuatkan semangat, teruskan usaha dan harumkan nama Johor.

“Dia hampir melayakkan diri di tempat ketiga untuk perlumbaan esok, dan ia adalah penampilan pertama Tunku Abu Bakar di litar itu. Dia dan Tunku Panglima, Tunku Abdul Rahman menunjukkan potensi serta persembahan yang baik.

“Semoga kita mendapat keputusan yang baik esok,” titah baginda.

kereta yang dipandu Tunku Abu Bakar ketika pusingan kelayakan GT World Challenge Australia terbabas dan terbalik di litar Mount Panorama, Bathurst, New South Wales, Australia, hari ini.

Dalam hantaran itu baginda bertitah, pemanduan lebih 200 kilometer sejam melalui bahagian McPhillamy Park litar itu menyebabkan Tunku Abu Bakar hilang kawalan dan terbabas ke penghadang tayar sebelum kereta Mercedez Benz GT3 yang dipandunya terbalik.

Titahnya, orang ramai menarik nafas lega sejurus melihat Tunku Abu Bakar berjaya keluar dari kereta dan menunjukkan tanda ‘peace‘ kepada penonton sebelum menaiki kenderaan kakitangan litar dan perubatan.

Berikutan insiden dan kerosakan yang dialami, Tunku Abu Bakar dan rakan sepasukan, Jamie Whincup terpaksa menarik diri daripada saingan perlumbaan ‘endurance’ tiga jam esok.

Manakala, Tunku Abdul Rahman bersama rakan sepasukan Broc Feeney akan meneruskan cabaran JMR Triple Eight Race Engineering, bermula dari petak kedua grid. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast