Perdana Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan pemain sukan e-sport pada Majlis Perasmian Karnival Anak Muda Gegor Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 12 NOVEMBER 2022.

BERA – Pengisytiharan harta oleh Pakatan Harapan (PH) hanya sekadar mahu menjadikannya isu semasa kempen pilihan raya umum.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli didakwa cuba memerangkap lawannya dengan menimbulkan persepsi negatif jika ada calon pilihan raya tidak berbuat demikian.

“Setakat nak jadi isu pilihan raya, nak memerangkap siapa yang tak isytihar harta mesti ada something, itu tujuannya,” katanya yang juga Perdana Menteri pada sidang media selepas merasmikan Karnival Keluarga Malaysia Anak Muda Gegor Bera di sini hari ini.

Ismail Sabri juga melahirkan kehairanan bagaimana calon PH kerusi Parlimen Pandan itu mempunyai harta berbelas juta sedangkan syarikatnya dahulu lebih banyak mengalami kerugian berbanding keuntungan.

“Tapi dia (Rafizi) nak isytihar sukarela sekarang sudah kena siasat, silap-silap AMLA (Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram) juga masuk selepas ini,” ujarnya.

Terdahulu, Perdana Menteri berkata, pengisytharan harta oleh calon pilihan raya bukan yang perlu dalam akta dan peraturan negara.

“Bila sudah menang ahli Parlimen boleh isytihar harta tapi bukan wajib kerana ada dalam kalangan mereka boleh berniaga tapi menteri dan timbalan menteri wajib,” ujarnya. – MalaysiaGazette