Orang ramai beratur bagi membeli barangan jenama Peladang yang dijual dengan harga lebih murah daripada harga pasaran sempena Karnival Jualan Keluarga Peladang anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) di Laman Kerayong, Bera, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 12 NOVEMBER 2022.

BERA – Karnival Jualan Keluarga Peladang anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) hari ini menerima sambutan luar biasa daripada menerusi pelbagai aktiviti berbentuk pameran dan jualan.

Penganjurannya membabitkan jabatan dan agensi bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Agrobank dan penglibatan sama Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) serta Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bera.

Pengerusi Jemaah Pengarah (NAFAS), Datuk Zamri Yaakob (kanan) melakukan gimik jualan murah ayam peladang yang dijual dengan harga RM8 seekor pada Karnival Jualan Keluarga Peladang anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) di Laman Kerayong, Bera, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 12 NOVEMBER 2022.

ProgramĀ  pengisian bersama Karnival Anak Muda GEGOR Bera itu menyediakan ruang pameran serta jualan input pertanian dengan potongan harga yang menarik.

Lebih mengujakan, jualan ayam diadakan dengan harga serendah RM8 bagi seekor ayam bulat pada waktu happy hour namun ia terhad kepada 500 ekor sahaja.

Sementara NEKMAT pula menjual produk ikan segar beku Q-fish dengan tawaran harga menarik, disamping jualan terus daripada ladang oleh FAMA manakala Agrobank turut membuka kaunter perkhidmatan di karnival terbabit.

Perdana Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Pengerusi Jemaah Pengarah (NAFAS), Datuk Zamri Yaakob (dua kanan) bertanyakan sesuatu dengan salah seorang pelanggan pada Karnival Jualan Keluarga Peladang anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) di Laman Kerayong, Bera, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 12 NOVEMBER 2022.

Seorang pengunjung warga tempatan, Rohana Hashim ketika ditemui teruja karnival jualan bermanfaat seperti ini diadakan di Bera.

“Bagi orang-orang kampung di Bera ni, (program jualan) macam ini sangat bagus. Mak cik beli beras, ayam, nanas dan kerepek,” katanya.

Harapan beliau supaya program anjuran NAFAS itu dapat dianjurkan lebih kerap di masa depan.

Begitu juga dengan Azalina Mat Isa yang terlibat sebagai salah sorang peserta membuka gerai jualan di tapak karnival jualan tersebut.

Temubual bersama pengunjung, Azalina Mat Isa sempena Karnival Jualan Keluarga Peladang anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) di Laman Kerayong, Bera, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 12 NOVEMBER 2022.

“Hari ini best sebab banyak barang murah. Beras, ayam, ikan, sotong, buah tembikai murah hari ini, sekilo hari ini RM1.50 sahaja. Sebiji RM8 lebih sahaja bagi sebiji tembikai.

“Patut buat (karnival jualan peladang) setiap tahun,” tambahnya.

Program tersebut turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) NAFAS, Datuk Zamri Yaakob yang meninjau sendiri sambutan warga Bera terhadap penganjuran karnival yang berakhir jam 1 tengah hari ini. – MalaysiaGazette