Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah b. Haji Yusof bercakap kepada media selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Tender Projek-Projek di Kompleks Kerja Raya, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 22 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Jajaran politik baharu antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan menimbulkan pergolakan dan ketidakstabilan dalam arena politik negara.

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kemelut politik akan bertambah buruk jika kerjasama itu direalisasikan.

“Pertama sekali dalam BN itu sendiri, ada yang menyokong dan ada yang tidak menyokong kerjasama BN dan PH. 

“Ini sudah tentu mencetuskan ketidakstabilan sekali lagi,” katanya kepada media semasa meluangkan masa bersama belia Satok di Swee Kang Ais Kacang.

Fadillah berkata demikan ketika mengulas dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa BN akan bergabung dengan PH pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Malah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi pernah berkata strategi berkenaan bertujuan memudahkan proses penggabungan antara BN dan PH untuk membentuk Kerajaan Persekutuan selepas PRU15.

Beliau juga mendakwa objektif akhir adalah menyelamatkan pemimpin BN yang menghadapi pendakwaan di mahkamah.

Dalam pada itu, Fadillah berkata untuk mengelak perkara tersebut, pengundi mempunyai pilihan lain iaitu Parti Gabungan Sarawak (GPS) demi kestabilan.

“GPS sahaja, jangan fikir yang lain. GPS lah yang akan dapat menstabilkan politik negara ketika ini,” katanya.

Ahad lalu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan dakwaan kerjasama antara dua seteru politik itu adalah fitnah.

Malah dakwaan tersebut turut dinafikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Jelasnya, spekulasi itu ditimbulkan Dr. Mahathir kerana bimbang partinya kalah teruk pada PRU15. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast