Seorang warga emas maut selepas rumah yang didiaminya musnah dalam kebakaran di Kepala Batas, Pulau Pinang.

KEPALA BATAS – Seorang warga emas maut dalam kebakaran di sebuah rumah di Jalan Paya Keladi, Paya Keladi Hujung di sini, semalam.

Mangsa, Hashim Mohd Ali, 70, dikatakan tidak sempat menyelamatkan diri selepas terperangkap dalam rumah ketika api sedang marak.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya terima panggilan pada jam 11.44 malam sebelum sepasukan bomba dikerahkan ke lokasi.

“Sebaik tiba kita dapati mangsa yang tinggal seorang diri itu sudah meninggal dalam rumah berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati hampir 60 peratus rumah mangsa musnah dijilat api.

“Operasi memadam kebakaran itu berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira jam 12.19 tengah malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Reezal Merican meninjau lokasi kejadian.

Terdahulu, calon Barisan Nasional Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican meninjau lokasi kejadian selain merakamkan takziah kepada ahli keluarga mangsa. – MalaysiaGazette