KUALA LUMPUR – LRT Laluan Kelana Jaya akan kembali beroperasi secara normal tidak lama lagi, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Beliau berkata, sehingga kini ujian yang dilaksanakan dengan pemantauan Bahagian Perancangan dan Penguatkuasaan Rel Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menunjukkan sistem isyarat dan komunikasi berada dalam keadaan baik.

“Matlamat utama pengujian ini adalah untuk memastikan kestabilan dan keselamatan sistem sebelum meneruskan pengoperasian penuh.

“Saya boleh melaporkan bahawa sistem isyarat dan komunikasi dalam keadaan baik dan berkemungkinan besar kita dapat kembali kepada pengoperasian normal kesemua 38 hingga 40 tren di sepanjang laluan Kelana Jaya tidak lama lagi.

“Saya akan terus memantau perkembangan ini termasuklah ketika saya berada di Ayer Hitam. Mudah-mudahan saya dapat membawa berita baik esok,” katanya menerusi laman Facebook, hari ini.

Ka Siong yang menerima taklimat mengenai ujian sistem kawalan tren automatik (ATC) memberitahu, pasukan yang sama akan menguji 38 set tren di sepanjang laluan dengan jarak lima minit antara setiap set tren pada hari ini.

Semalam beliau berkata, status operasi perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya akan diumum selepas ujian penuh dijalankan.

Rapid KL menggantung sementara perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya di 16 stesen bermula Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park bermula 9 hingga 15 November ini berikutan masalah sistem ATC.

Gangguan berkenaan melibatkan masalah pusat kawalan kenderaan (VCC) dan signal (isyarat) yang mana ia mengakibatkan tren yang bergerak tidak dapat dikesan menerusi skrin di VCC.-MalaysiaGazette