Nurfatimah Ibrahim

MERSING – Calon parti Pejuang bagi parlimen Mersing, Nurfatimah Ibrahim, 33, sedar tidak mudah untuk menang namun beliau tetap berusaha memperkenalkan partinya kepada rakyat Mersing.

“Saya bersaing dengan parti-parti gergasi dan memang sukar untuk menang di sini tetapi saya bersyukur kerana masih ada rakyat yang senang dengan kehadiran saya dari parti Pejuang.
“Bagi saya, penerimaan masyarakat sepanjang berkempen untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15) ini sangat memberangsangkan malah ramai yang memberi kata-kata semangat kepada saya” katanya ketika ditemui selepas berkempen malam tadi.
Nurfatimah atau mesra dipanggil Fatin memberitahu, isu yang dibawa sepanjang minggu berkempen lebih kepada permasalahan rakyat setempat termasuklah ekonomi semasa.
“Dari sudut ekonomi, saya sebagai rakyat dan anak jati Mersing ingin melihat industri pelancongan daerah ini dipertingkatkan kerana Mersing belum ada sesuatu yang unik untuk dijadikan ikon pelancongan.
“Mersing terkenal kerana pantai dan pulau-pulaunya tetapi masih banyak lagi yang boleh diketengahkan seperti makanan yang ada jenama Mersing.
“Sistem perhubungan seperti jalan raya wajib dipertingkatkan kerana orang luar yang datang ke Mersing sering mengeluh kerana perjalanan yang jauh dan tidak selesa,” ujarnya.
Menurut ibu muda kepada dua cahayamata ini lagi, sekiranya sistem perhubungan ini dapat dipertingkatkan, Mersing akan menarik pelancong tinggal lebih lama selain pilihan menginap di pulau sekaligus merancakkan ekonomi rakyat setempat.
Tambahnya lagi, isu bekalan makanan juga turut menjadi bahan kempennya sebagai perkongsian bersama rakyat.
“Masalah keputusan bekalan telur, ayam mahal, minyak paket dan macam-macam lagi semuanya saya bawa ketika berkempen kerana Mersing sering berhadapan dengan masalah bekalan seperti ini.
“Saya pelik sebab masalah bekalan bahan yang terputus ini tidak berlaku di daerah lain hinggakan ramai rakyat yang terpaksa keluar daerah untuk mencari bahan keperluan ini.
“Paling terkesan adalah golongan peniaga kerana menjejaskan perniagaan mereka kerana sukar mendapatkan bahan keperluan untuk memasak,” jelasnya.
Katanya lagi, walaupun nampak remeh, kesannya amat membebankan rakyat dan ia wajar mendapat perhatian pemimpin.
Bercakap tentang PRU15,  Ketua Pejuanita Muda Johor ini menjelaskan, semua rakyat yang layak mesti keluar mengundi dan buatlah pilihan yang tepat.
“Bagi golongan muda khususnya, janganlah ambil mudah bab mengundi kerana setiap undi itu penting untuk menentukan masa depan kita.
“Buatlah pilihan secara matang serta berhemah dan jangan sesekali terima  rasuah daripada mana-mana pihak yang merayu undi.
“Sebaiknya kaji latar belakang calon yang bertanding sebelum membuat pilihan,” katanya mengakhiri perbualan.
Pada PRU15 pada 19 November ini, perebutan kerusi Parlimen Mersing menyaksikan pertandingan lima penjuru terdiri darpada parti Pejuang, Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan seorang calon bebas.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast