BATU PAHAT – Pengundi-pengundi Cina di kawasan Parlimen di sini tidak percaya dengan tuduhan yang dilemparkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung drama air mata mengenai jawatan Timbalan Speaker.
Malah, pengundi-pengundi Cina di Batu Pahat juga meluat dengan kempen yang menggunakan kaedah menghentam peribadi individu, kata calon Perikatan Nasional (PN) Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon.
Beliau berkata, rata-rata pengundi Cina di Parlimen ini kenal tentang diri beliau selepas empat tahun menjadi wakil rakyat di sini.
“Ada yang bertanya, Cina kedai buah-buahan dia kata, datuk saya bila dengar Anwar cakap macam itu saya meluat. Itulah perspektif masyarakat Cina,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Santai Anak Muda Johor bersama Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Terbuka di Taman Seri Penggaram, di sini, hari ini.
Rashid turut menyifatkan, kempen yang dijaja oleh Anwar mengenai beliau sebagai cerita dongeng.
Kelmarin, media melaporkan Anwar mendakwa Rashid pernah menangis dan merayu kepadanya untuk mendapatkan jawatan Timbalan Speaker ketika berada dalam kerajaan PH.
Perkara itu diucapkan oleh Anwar ketika berceramah di tapak pasar malam Bukit Pasir, di sini.
Semalam, Rashid ketika ditanya media mengenai perkara itu memberikan respon tidak wujud drama sebagaimana yang didakwa oleh Anwar terhadapnya.
Katanya, pemilihan beliau ke jawatan itu dibuat berdasarkan undian setelah dicadangkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad. – MalaysiaGazette