Kohilan Pillay bersama jenteranya menunggang skuter elektronik menyantuni pengundi di ekitar Perumahan Awam Sri Perak semasa walkabout menjelang PRU15 hari ini.

KUALA LUMPUR – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Batu, Datuk A. Kohilan Pillay terdapat peningkatan sokongan pengundi, khususnya kaum Melayu, kepada beliau.

Katanya, jentera pilihan raya juga akan melipat gandakan usaha mendekati pengundi Cina dan India selain golongan belia dalam tempoh tujuh hari berkempen dengan pelbagai program disediakan untuk memikat mereka

“Proses pemutihan yang kita lakukan terhadap lebih 55,000 pengundi berdaftar dalam kalangan komuniti Melayu mendapati sokongan lebih 40,000 pengundi Melayu sudah berada sebelah BN,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas program walkabout bagi menyantuni penduduk Perumahan Awam Sri Perak dan kawasan Sentul Pasar, di sini, hari ini.

Menurut Naib Presiden MIC itu, ia merupakan petanda positif dalam usaha merampas kerusi yang jatuh di tangan pembangkang sejak 15 tahun lalu.

Katanya, selain itu, Manifesto Keluarga Batu yang dilancarkan kelmarin membabitkan pembinaan semula beberapa projek perumahan awam dan program beliau mampu menambat hati pengundi.

Tambah beliau, manifesto tersebut boleh dilaksanakan kerana ia telah dikaji secara mendalam sebelum dilancarkan.

Kohilan akan berhadapan dengan sembilan pesaing dalam perebutan kerusi Parlimen Batu iaitu penyandang kerusi itu, P, Prabakaran dari Pakatan Harapan; Azhar Yahya (Perikatan Nasional; Wan Azliana Wan Adnan (Pejuang), Naganathan Pillai (Warisan), Mohd Zulkifli Abdul Fattah (Parti Rakyat Malaysia).

Selain itu empat calon Bebas iaitu Chua Tian Chang @ Tian Chua, Siti Zabedah Kasim, Nur Fathiah Syazwana Shaharudin @ Cleo dan Too Cheng Huat turut menyertai persaingan tersebut. – MalaysiaGazeete