Hazani Ghazali. Foto AFFAN FAUZI, 05 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dua lelaki yang membuang dan membakar bendera parti politik di Perak dan Terangganu semalam.

Pengarah Operasi PRU15 Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki Orang Asli yang dikesan membuang sepanduk Parti Warisan yang dipasang di Batu 6, Batu 7 Jalan Pahang di Tapah, Perak.

“Hasil siasatan lanjut polis terhadap insiden itu mendapati dua orang saksi terlihat suspek memegang sepanduk Parti Warisan dan membuangnya di dalam hutan tetapi suspek telah mengambil dan memasang semula sepanduk yang dibuang dalam hutan selepas dimarahi dua saksi tersebut.

“Tangkapan kedua yang dibuat polis di Terengganu membabitkan seorang lelaki warga tempatan membakar bendera berwarna hijau putih dipercayai bendera parti Pas,” kata beliau dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Hazani lagi, semasa kejadian Khamis lalu, pengadu menerima kiriman video menerusi WhatsApp yang memaparkan seorang lelaki dipercayai penduduk Kampung Pasir Raja di Terengganu sedang membakar bendera disyaki milik parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tambah beliau, pengadu yang Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung tidak berpuas hati dengan tindakan suspek membuat laporan polis.

Sementara itu, Hazani berkata, sebanyak 14 kertas siasatan melibatkan pelbagai jenis kesalahan semasa berkempen dibuka semalam yang dilakukan di bawah Seksyen 457, 504, 427, 147, 506, 505(b), Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 dan Akta Pilihan Raya 1954.

“Antara kesalahan yang dilaporkan dalam kertas siasatan itu adalah satu hantaran jelik melibatkan seorang calon di daerah Kulim, Kedah dan perbuatan khianat menconteng wajah pada poster calon Parlimen Putrajaya, Tengku Adnan Tengku Mansor yang dikesan pengadu di sekitar Presint 11, Putrajaya,” katanya.

Dalam Hazani memberitahu, sebanyak 1,037 permit ceramah politik telah diluluskan semalam yang mana sebanyak 173 permit diluluskan di Kedah diikuti Negeri Sembilan (172), Perak (155), Selangor (147), Pahang (131), Kelantan (98), Melaka (54), Sarawak (44), Perlis (21) dan Kuala Lumpur (20).

Katanya, polis turut merekodkan 432 ceramah politik yang diadakan oleh calon tidak mendapatkan permit polis yang mana sebanyak 425 ceramah diadakan di Sabah diikuti Selangor (3), Kelantan (2) dan masing-masing satu kes di Perlis dan Pahang. – MalaysiaGazette