Wan Norashikin Wan Noordin

PASIR SALAK – Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman terus memberi nasihat kepada calon parti Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampong Gajah.

Ini bagi memastikan kerusi itu yang terletak dalam Parlimen Pasir Salak itu terus dimenangi oleh BN.

Penyandang DUN Kampong Gajah Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin yang akan mempertahankan kerusi itu berkata, jati diri Tajuddin terhadap UMNO begitu kuat.

“Kita ada pemimpin yang hebat dari Pasir Salak dan Kampong Gajah. Mantan Menteri besar Tan Sri Ramli Ngah Talib datang daripada DUN Kampong Gajah yang saya wakili penggal yang lepas dan saya tandingi sekarang.

“Disambung perjuangannya oleh Tan Sri Tajuddin Abdul Rahman kami mempunyai hubungan baik. Hasil kerja beliau kita akan sambung.

“Sentiasa mendapat nasihat daripada beliau sebagai pemimpin kami, kita anggap beliau sebagai bapa kepada Kampong Gajah, Pasir Salak,” kata Wan Norashikin.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 Wan Norashikin memperoleh 11,026 undi dengan majoriti 3,345.

Beliau akan ditentang oleh Mohd. Syamsul Alauddin (Pakatan Harapan), Zafarulazlan Zan (Perikatan Nasional) dan Mohd. Safian Sauri Pandak Abd Samad (Pejuang) pada pilihan raya yang akan berlangsung pada 19 November ini.

Wan Norashikin yang merupakan bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak berkata, jika menang beliau akan berusaha menjadikan Kampong Gajah sebuah daerah.

“Kita kalau boleh untuk jangka panjang berdiri atas kaki sendiri.
DUN Kampong Gajah ini terletak dalam tiga daerah iaitu Daerah Perak Tengah, Daerah Bagan Datuk dan Daerah Hilir Perak.

“Kalau boleh kita satukan semuanya menjadi Daerah Kampung Gajah. Kita akan ada majlis Daerah Kampung Gajah sendiri,” katanya.

DUN Kampong Gajah mempunyai lapan mukim dan 56 kampung.

Wan Norashikin berkata, beliau juga akan memberi fokus mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada generasi muda sekiranya terpilih sebagai wakil rakyat semula.

Peluang pekerjaan boleh menjadi faktor supaya generasi muda tidak keluar daripada kawasan itu hingga menyebabkan yang tinggal terdiri daripada mereka yang berusia dan warga emas.

DUN Kampong Gajah mempunyai 39,207 pengundi berdaftar dengan 18,559 berusia lebih 40 tahun.-MalaysiaGazette