LIPIS – Penyandang kerusi Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad mempertikaikan bagaimana Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mampu menjaga dua kawasan serentak jika menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Lebih-lebih lagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka di Pahang manakala Parlimen Kubang Kerian di Kelantan, katanya.

Tambah Abdul Rahman, sebagai individu berpengegetahuan agama, Tuan Ibrahim seharusnya sedar komitmen yang digalas untuk menjaga dua lokasi berbeza.

“Hukumnya berdosa, kalau kita nak dua-dua kawasan tetapi kita tak boleh bagi perkhidmatan kepada rakyat. Kalau betul nak jaga rakyat Lipis, kenapa bertanding DUN Dan Parlimen berbeza? Kenapa DUN Cheka dan Parlimen Kubang Kerian?

“Kalau betul dia betul-betul nak berkhidmat sebagai wakil rakyat untuk berkhidmat dia mesti memikirkan bagaimana nak melaksanakan tugas,” katanya ketika ditemui seelpas menyantuni masyarakat Cheka dan bersarapan bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Jelas Abdul Rahman, isu berkenaan menjadi lebih buruk dan memberi kesan kepada masyarakat Cheka dalam tempoh lima tahun akan datang jika tidak ditadbir urus dengan baik.

Justeru beliau berharap tindakan seperti itu tidak harus berlaku dan mengharapkan Tuan Ibrahim untuk lebih fokus kepada jajahan  Parlimen Kubang Kerian.

“Pada andaian saya Ahli Parlimen Lipis, saya berkhidmat jaga rakyat Lipis siang dan malam tanpa bercuti tapi saya boleh bayangkan bagaimana nak jaga dua kawasan yang jaraknya jauh.

“Contoh katakanlah MB bagi saya bertanding Parlimen Lipis dan di DUN Semambu, Kuantan, katakanlah saya menang macam mana saya nak memberi perkhidmatan dalam masa yang sama di DUN dan Parlimen jauh jaraknya?

“Sudah pasti saya tinggalkan salah satu, silap-silap tak dapat fokus dua-dua kawasan. Orang Lipis tanya, saya jawab kata ada di Semambu, begitulah sebaliknya.

“Dia (Tuan Ibrahim) ustaz dan dia baik dengan saya tapi bila tengok saya tegur, bukan tegur sebab politik tapi sebab orang Cheka dan ketamakan beliau,” katanya.

Sebaliknya, kata Abdul Rahman, jika Tuan Ibrahim benar-benar ingin berkhidmat kepada rakyat Lipis maka pilihlah Parlimen Lipis supaya lebih dekat dengan masyarakat Cheka.

“Kalau betul dia nak bagi berkhidmat Di Cheka, bertandinglah Di Lipis. Maknanya kalau dia menang bertanding Di Parlimen Lipis, dia pun boleh berkhidmat kepada orang Cheka. Kalau nak kira seronok-seronok pula dapat dua gaji, dia ustaz dia kena fikirkan.

“Dia ingat dapat selesaikan masalah orang Cheka dengan mudah? Saya berpendapat dia tak sepatutnya bertanding di Cheka, cukup di Kubang Kerian.

Tuan Ibrahim bertanding di DUN Cheka kerana hasrat Perikatan Nasional (PN) mahu menjadikan beliau sebagai Menteri Besar Pahang sekiranya gabungan parti itu memenangi negeri itu.- MalaysiGazette