Tengku Adnan Tengku Mansor

PUTRAJAYA – Lebih banyak tohmahan dipercayai akan dilemparkan pemimpin-pemimpin  Pakatan Harapan (PH) apabila bahang kempen semakin memuncak, minggu depan.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata aktiviti tidak bertanggungjawab itu akan terus berleluasa dengan misi untuk menarik perhatian pengundi.

Sehubungan itu, beliau meminta para pengundi untuk bersikap rasional dan matang dalam meneliti setiap kenyataan yang dikeluarkan pemimpin PH.

“Mana ada (anggota tentera undi pos). Mereka buat pelbagai tohmahan. Tuduh kita, fitnah kita macam-macam.

“Mulai minggu depan lagi banyak fitnah akan keluar. Kita tunggu sahaja fitnah-fitnah mereka. Saya berkeyakinan bahawa rakyat matang dan boleh menilai.

“Kita nak beritahu rakyat masihkah kau ingat apa yang berlaku selepas PRU14,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri program Semarak Uniti Keluarga Malaysia di Anjung Floria, pagi tadi.

Tengku Adnan diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa anggota tentera khususnya dalam kawasan Parlimen Bera dibayar sejumlah RM300 untuk mengundi, semalam.

Anwar berkata beliau mempunyai maklumat sahih mengenai perkara itu.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam, menggesa pihak yang mempunyai maklumat berhubung perkara itu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – MalaysiaGazette