Calon Barisan Nasional P.107 Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin (kanan) menyampaikan ucapan kepada pelajar tahfiz ketika hadir melawat sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Darul Ulum Az Zahra, Sungai Buloh. Foto FAREEZ FADZIL, 12 November 2022.

SUNGAI BULOH – UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah pilihan terbaik untuk rakyat tetapi ia perlu ditransformasi bagi membolehkan lebih ramai generasi baharu menerajui kepimpinannya.

Calon BN Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin menjelaskan, kenyataannya untuk membersihkan UMNO-BN bukan bermakna parti berkenaan telah rosak.

Sebaliknya beliau berkata, ramai yang mahu melihat kebangkitan dan perubahan dalam parti berkenaan.

Katanya, beliau yakin aspirasi itu akan terlaksana apabila Datuk Seri Ismail Sabri menjadi pemimpin dan sekali lagi dipilih sebagai Perdana Menteri.

“ Kita hendak melihat satu kebangkitan generasi baru dengan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai pemimpin manakala di belakang beliau adalah pelapis-pelapis muda seperti saya dan ramai calon-calon muda.

“Itu maksud saya, jangan salah faham, seolah-olah UMNO itu parti yang rosak..Tidak,” tegasnya kepada pemberita ketika ditemui selepas program Ramah Mesra Bersama Pelajar Tahfiz Darul Ulum Az Zahra.

Khairy berkata demikian ketika diminta mengulas lebih lanjut kenyataannya semalam yang mahu membersihkan UMNO jika berjaya menawan Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum PRU15.

Jelas beliau, UMNO perlu memberikan keyakinan kepada orang ramai bahawa parti itu sedang berubah.- MalaysiaGazette

 

 

1 Komen

  1. Fokus mematahkan hujah pihak lawan utk memenangi PRU15 bukan menyakiti perasaan rakan sepejuangan. Faktor utk menang bukan kehebatan sendiri tapi keharmonian dgn rakan2 lain.

Comments are closed.