PERMATANG PAUH – Penduduk yang terjejas banjir di kampung Permatang Rawa, di sini, semalam sudah mula mengemas rumah apabila air mulai surut sejak jam 5 pagi tadi.
Tinjauan MalaysiaGazette di kampung berkenaan mendapati rata-rata mereka sibuk mencuci rumah selepas kediaman dipenuhi lumpur akibat banjir tersebut.
Menurut penduduk, Muhammad Izwan Md Isa, 31, meskipun sudah mula melakukan kerja-kerja pembersihan rumah namun mereka berada dalam situasi berjaga-jaga.
“Buat masa ni air dah surut sebab itu kami mula bersihkan rumah.
“Kawasan perumahan di sini berhampiran sungai jadi kami kena sentiasa bersiap sedia menghadapi situasi banjir,” katanya.
Bagi pesara, Azmi Ahmad, 61, keadaan rumah penuh tanah berlumpur memerlukan mereka melakukan pembersihan walaupun tahu banjir boleh berlaku semula pada bila-bila masa.
“Keadaan cuaca masa kini kita tak boleh jangka tapi apa nak buat kita kena bersihkan juga rumah kalau tidak takkan nak tinggal dalam keadaan berlumpur.
“Bagaimanapun, kami semua penduduk di sini berharap tiada lagi insiden banjir berlaku kerana sudah penat selain terpaksa menanggung kerugian harta benda,” jelasnya.
Seorang lagi penduduk, Shamsudin Yob berkata, dia mula melakukan pembersihan bermula jam empat pagi namun sehingga tengah hari masih belum selesai.
“Letih asyik berdepan situasi sebegini sekian lama. Memang kami tahu ia berpunca daripada limpahan air sungai belakang rumah tetapi harap pihak berwajib bantu cari jalan penyelesaian.
“Bayangkan banyak barang kami rosak, meja peralatan dapur semua penuh selut. Dah penat bersihkan rumah ditambah pula dengan kos untuk membeli perkakasan rumah yang baru,” katanya dengan nada kecewa.
Sementara itu, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, seramai 114 mangsa banjir masih ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Bukit Mertajam serta Tasek Gelugor.
“Dua PPS dibuka di Tasek Gelugor iaitu di Dewan Banjir Desa Puri dan Sekolah Kebangsaan Lahar Yooi manakala bagi kawasan Bukit Mertajam pula seramai 44 mangsa masih ditempatkan SKJC True Light,” katanya ketika dihubungi hari ini. – MalaysiaGazette