Awie (tengah) Sabaruddin (depan) menyantuni penduduk sekitar Balik Pulau hari ini.

BALIK PULAU – Penyanyi rock dan pelakon popular, Datuk Awie turun padang membantu kempen calon bebas cap pokok, Datuk Seri Sabaruddin Ahmad di Parlimen Balik Pulau hari ini.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 54, berkata, beliau turun menyantuni penduduk sekitar Balik Pulau bukan atas dasar sebagai artis namun nilai persahabatan antaranya dengan calon.

“Saya sebenarnya datang nak beri semangat dan sokongan moral kepada calon bebas cap pokok ini kerana saya tahu dia adalah individu mampu menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Golongan OKU antara yang diziarahi.

“Dalam keadaan kemelut politik sekarang kita kena cari calon yang sesuai atau mampu membawa suara rakyat ke Parlimen bukan lagi soal parti.

“Jadi kalau orang kata saya datang atas dasar artis memang tidak. Tolak soal artis itu hanya jenama saja yang penting semangat dalam yang mahu lihat nasib rakyat dibela,” katanya.

Terdahulu Awie, melakukan walkabout bersama Sabaruddin di sekitar Kampung Seronok, Kampung Permatang Pasir.

Selain itu, mereka turut mengadakan majlis ramah mesra makan tengah hari bersama penduduk setempat.

Awie menyampaikan bantuan kepada penduduk yang kurang berkemampuan dalam walkabout tersebut.

Mengulas lanjut Awie berkata,beliau berharap penduduk Balik Pulau menyokong jentera baru calon cap pokok untuk melihat perubahan bagi Parlimen tersebut.

Datuk Seri Sabaruddin Ahmad (Bebas) berdepan lima saingan membabitkan penyandang kerusi itu Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Pakatan Harapan), Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah (BN), Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid (PN); Ahmad Fazli Mohammad ( GTA) serta satu lagi calon Bebas, Datuk Seri Johnny Ch’ng Ewe Gee. – MalaysiaGazette