Keadaan MPV Toyota Estima dinaiki enam sekeluarga menyebabkan empat daripadanya maut, manakala seorang lagi parah ketika dalam perjalanan meraikan hari jadi salah seorang mereka dalam nahas di Simpang Tiga Jalan Kolam, Machap, Alor Gajah, Melaka pagi tadi.

ALOR GAJAH – Empat sekeluarga maut, manakala seorang lagi parah ketika dalam perjalanan meraikan hari jadi salah seorang daripada mereka dalam nahas dua buah kenderaan di Simpang Tiga Jalan Kolam, Machap, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa yang maut dalam kejadian 7.45 pagi itu adalah Ibrahim Daud, 71 yang meraikan hari jadinya hari ini dan isterinya Latipah Dorahim, 66.

Turut maut, dua beranak Syazana Tharin, 30 dan Yusuf Daniel Muhammad Izwan, 5, selain seorang lagi anak Syazana, Aniq Fahim Muhammad Izwan dilaporkan parah.

Semua mereka adalah penumpang kereta jenis Toyota Estima dipandu Muhammad Izwan Ibrahim, 30, yang juga suami kepada Syazana.

Mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan selepas kenderaannya merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser yang keluar dari simpang.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, hasil siasatan mendapati, ketika kejadian, kenderaan pacuan empat roda yang dipandu lelaki berusia 59 tahun itu datang dari arah Durian Tunggal menuju Selandar manakala, Toyota Estima dari arah Selandar ke Alor Gajah.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada Land Cruiser itu keluar simpang untuk membelok ke kanan sebelum pada masa sama hampir melanggar Toyota Estima yang sedang meneruskan perjalanan.

“Pemandu Estima cuba mengelak ke arah kanan dan menekan brek sejauh lima meter namun gagal dan melanggar di bahagian kiri hadapan pacuan empat roda itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, rempuhan itu menyebabkan Ismail meninggal dunia di tempat kejadian manakala isteri, menantu dan seorang cucunya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Alor Gajah.

“Ketika kejadian, semua mereka sedang dalam perjalanan ke Langkawi bagi meraikan hari jadi Ismail.

“Semua jenazah telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah disiasat.

“Pemandu Land Cruiser turut ditahan jam 11 pagi tadi semasa memberi keterangan di Balai Polis Trafik Alor Gajah dan hasil ujian saringan air kencing didapati negatif dadah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette.