Bendahari Agung Barisan Nasional yang juga calon Barisan Nasional P.153 Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika berucap pada Program Sepetang Bersama Pemimpin Masyarakat Sungai Buloh di Dewan Meranti Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 13 NOVEMBER 2022.

SUNGAI BULOH – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan bukti terhadap dakwaannya bahawa anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Bera, Pahang menerima wang sebanyak RM300 seorang.

Tegas beliau, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) perlu menyerahkan bukti berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jika tuduhan itu betul.

Langkah itu penting kerana Hishammuddin tidak mahu nama baik, integriti dan maruah ATM diperlekehkan oleh Anwar dengan tuduhan yang tidak jelas semata-mata untuk meraih undi.

”Tunjuklah bukti dulu untuk dibawa siasat. (Tuduhan) itu keterlaluan, kalau nak berpolitik pun janganlah sesempit itu untuk meraih orang ramai,” katanya kepada media di sini hari ini.

Terdahulu, beliau hadir beramah mesra dengan pengundi di Bandar Baru Sungai Buloh bersama calon Barisan Nasional (BN) Parlimen itu, Khairy Jamaluddin.

Mengulas lanjut, Hishammuddin yang juga Bendahari Agung BN berkata, undi pos merupakan sebahagian daripada sistem pilihan raya demokrasi yang telah memberikan kemenangan kepada PH pada pilihan raya sebelum ini.

“Bila dia buat kenyataan itu, ia menimbulkan kemarahan ATM. Undi pos merupakan satu perkara yang biasa.

“Semasa PH menang dalam PRU-14 pun ada undi pos, tetapi nak tuduh anggota kita terima RM300 apa tujuannya? Sampai hari ini tidak jawab lagi,” tegas Hishammuddin.

Dakwaan yang dibuat oleh Anwar baru-baru ini turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri.

Semalam, Ismail menyifatkan, kenyataan Anwar itu sebagai fitnah serta merendahkan martabat anggota pasukan keselamatan serta sengaja menimbulkan persepsi negatif masyarakat kepada BN menjelang PRU15.

Jsuteru itu, beliau menuntut Anwar memohon maaf kepada anggota tentera dan harus sedar bahawa dakwaan itu bersifat jahat.- MalaysiaGazette