Isham Jalil

SHAH ALAM – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Shah Alam, Isham Jalil menjelaskan kepada rakyat bahawa beliau tidak memikirkan soal menjadi Perdana Menteri atau Menteri Kabinet jika berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Katanya, jika calon BN Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mempunyai cita-cita itu, terpulang kepadanya kerana itu hak beliau untuk mendapatkan jawatan berkenaan.

“Bagi saya, tidak terfikir pasal Kabinet. KJ punya cita-cita itu dia punya pasallah ya. Saya tak fikir lagi dan fokus saya sekarang ialah nak selesai masalah rakyat di Shah Alam dulu,” katanya dalam dialog wacana di sini, malam ini.

Semalam, Menteri Kesihatan itu menjelaskan, tidak salah ahli politik sepertinya bercita-cita menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti.

Menurutnya, kenyataan yang dibuat sebelum ini memberi bayangan bahawa beliau ingin berkhidmat untuk negara dan rakyat jika diberi peluang mengemudi kerajaan.

“Tak salah untuk sesiapa mempunyai cita-cita. Cuma, (sebelum ini) saya beri bayangan ingin berkhidmat untuk negara dan rakyat,” kata Khairy.

Menurut Isham, untuk menjadi Perdana Menteri bukan kuasa seseorang Ahli Parlimen, sebaliknya akan ditentukan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Katanya, sepanjang beliau bekerja dengan Datuk Seri Najib  Razak sebelum ini, beliau tidak pernah meminta apa-apa jawatan.

Dalam dialog itu juga, beliau menyatakan, sepanjang lapan hari berkempen, programnya semakin bertambah iaitu dari enam program pada hari pertama, kedua dan ketiga kini bertambah kepada 21 program sehari semalam.

“Bermula dengan enam program sehari pada hari pertama, kini masuk hari kelapan meningkat kepada 21 program sehari. Tak tahulah sehingga malam 18 November ini berapa puluh program saya kena ikut.

“Semua jadual program ini diatur oleh jentera UMNO Bahagian Shah Alam. Mereka bekerja keras untuk memastikan kemenangan saya dan saya kena ikutlah,” katanya.

Beliau meluangkan masa dalam dialog itu selama satu jam, sebelum meneruskan program walkabout di sekitar Shah Alam sehingga jam 12 tengah malam ini. – MalaysiaGazette