sekumpulan individu berparti yang berkempen dengan menunggang skuter elektrik di atas jalan raya dikesan pada hari ini di sekitar Taman koperasi polis fasa 2, Sentul.

KUALA LUMPUR – Polis akan mengambil tindakan ke atas sekumpulan individu dari parti politik yang menggunakan skuter elektrik dan kenderaan buggy atas jalan semasa berkempen di Parlimen Batu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 kali ini.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, polis telah mengesan satu video pilihan raya di Parlimen Batu pada hari ini, kira-kira jam 2.22 petang yang memaparkan dua buah kenderaan golf cart (buggy) dan beberapa buah skuter elektrik digunakan di atas jalan raya ketika kempen tersebut berlangsung.

Katanya, hasil siasatan pihak polis mendapati parti politik yang terlibat dalam kempen ini memiliki permit perjumpaan awam terbuka yang sah daripada Ketua Polis Daerah Sentul dan kempen tersebut didapati berlangsung pada jam lebih kurang 9 pagi hari ini di Taman Koperasi Polis Fasa 2, Sentul.

“Bagaimanapun, pihak polis berjaya mengesan beberapa pelanggaran undang-undang lalu lintas dilakukan oleh kumpulan parti itu dalam kempen tersebut.

“Siasatan mendapati beberapa individu berparti dikesan telah menunggang skuter elektrik secara berkumpulan dan ia telah melanggar Peraturan 42 Kaedah Lalu lintas 1959 (LN166/19596) yang mana penunggang dikehendaki menunggang dalam satu barisan sahaja di atas jalan,” kata beliau dalam kenyataan malam ini.

Buggy yang dikesan dipandu individu parti semasa berkempen PRU15 di Parlimen Batu pagi ini akan diambil tindakan jika tidak mempunyai cukai jalan untuk kenderaan itu.

Kata Eng Lai, dalam rakaman video itu, polis turut mengesan dua perbuatan yang berbahaya yang mana indvidu tersebut didapati duduk di bahagian belakang kenderaan empat roda dalam keadaan bahaya.

Perbuatan mereka itu boleh diambil tindakan di bawah Peraturan 92 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959 (LN170/1959).

Polis juga akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 15 Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap dua buah kenderaan golf Ccart (buggy) jika didapati tidak memiliki cukai jalan atau kebenaran daripada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Pihak Polis Kuala Lumpur menasihati semua parti politik yang terlibat dalam kempen Pilihan Raya Umum 15 untuk sentiasa mematuhi undang-undang sepanjang tempoh berkempen.

“Polis tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang semasa berkempen,” tegasnya. – MalaysiaGazette