Maszlee Malik (kiri) berhadapan dengan seorang lelaki yang mempersoalkan perkhidmatan yang telah beliau berikan sebagai wakil rakyat di Kampung Ithnin Maarof, Simpang renggam, Johor, baru-baru ini.

KLUANG – Polis berjaya  meleraikan pertengkaran antara calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik ketika berdepan dengan dua individu yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh beliau sebagai wakil rakyat.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Md Noh berkata, pertengkaran berpunca apabila Maszlee cuba dihalang lelaki berkenaan yang hadir untuk memberikan bantuan di Dewan Utama, Kampung Ithnin Maarof, di sini.

“Pihak kami telah pun mengesan mengesan satu klip video berdurasi 1 minit 29 saat di aplikasi Whatsapp.

“Video klip terbabit juga memaparkan seorang ahli politik bertengkar dengan penduduk di sebuah pusat pemindahan sementara mangsa banjir,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rakaman video itu memaparkan, seorang lelaki yang bersemuka dengan bekas Menteri Pendidikan itu mempersoalkan apa yang telah Maszlee buat lalu menjerit ‘belah’ dan ‘kencing’ sebelum beredar.

Sejurus selepas itu seorang lagi lelaki turut mempersoalkan khidmat yang telah Maszlee berikan dan beliau tidak dapat menerima jawapan yang diberikan bekas menteri itu.

Menurut Bahrin, tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Sehingga tengah hari tadi, terdapat seramai 27 mangsa daripada enam keluarga ditempatkan di PPS berkenaan selepas rumah mereka dilanda banjir kilat. – MalaysiaGazette