Calon Bebas P.115 Batu, Siti Kassim bercakap kepada media semasa mengadakan walkabout sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Restoran Varidelicous Sentul, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 13 NOVEMBER 2022.]

SENTUL — Calon Bebas Parlimen Batu, Siti Zubaedah Kassim menganggap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor seorang lelaki cauvinis.

Ia susulan kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi Perikatan Nasional Kedah itu berhubung calon Barisan Nasional Sik, Maizatulakmam Othman yang dilihat cuba memperkecilkan kaum wanita.

Siti Zubaedah yang lebih dikenali sebagai Siti Kassim berkata, pengundi wanita patut menolak lelaki cauvinis seperti Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu.

“Semua pengundi terutamanya wanita, perlu menolak lelaki cauvinis seperti ini.

“Lelaki seperti ini adalah antara masalah yang kita hadapi di negara ini. Golongan sebegini terlalu ramai di Malaysia maka perempuan macam kita, kena tolak jantan-jantan yang tidak tahu menghargai.

“Kaum wanita sebenarnya kuasa terbesar di Malaysia yang menyumbang kepada ekonomi tempatan. Berani dia (Sanusi) hendak rendahkan kita dengan mengatakan kita tidak mampu memimpin?

“Berapa ramai CEO dan bos wanita di dalam dan luar negara” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyantuni pengundi di Restoran Varidelicious, di sini, hari ini.

Menurut Siti, wanita sudah terbukti boleh memimpin, malah kadang-kadang, lebih baik daripada lelaki.

Justeru tegasnya, kenyataan Sanusi adalah sampah dan tidak bijak, yang menunjukkan beliau tidak boleh menjadi pemimpin yang baik.

Menyentuh mengenai penerimaan pengundi luar bandar terhadap beliau yang memisahkan agama dengan kerajaan, peguam kontroversi itu menjawab, pengundi boleh menerima sekiranya perjuangannya diberi penjelasan sewajarnya.

Menurut aktivis popular itu, rakyat sudah mula menyedari ramai ahli politik, malah ‘pak lebai’ sendiri menyalahgunakan agama, untuk kepentingan peribadi

“Mengikut perlembagaan, pengurusan Islam adalah di bawah kuasa Sultan, bukan di bawah kerajaan.”

“Mengapa mereka sibuk menggunakannya? Kerana ia memberi manfaat kepada mereka. Saya fikir orang ramai telah melihat bagaimana ahli politik telah menggunakan agama untuk kepentingan peribadi,” katanya lagi. -MalaysiaGazette