KUALA SELANGOR – Barisan Nasional (BN) membidas kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari bahawa pembubaran Parlimen pada musim banjir bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah satu kesilapan.
Bendahari Agungnya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pendirian Amirudin itu tidak selari dengan tindakannya yang menerima pencalonan sebagai wakil Pakatan Harapan (PH) untuk Parlimen Gombak.
“Alih-alih apabila kita bubar Parlimen, beliaulah (Amirudin) yang dicalonkan paling awal untuk bertanding.
“Saya tengok dalam masa beberapa hari (pembubaran Parlimen) bendera pun sudah siap dibeli, hanya (tinggal) untuk dipasang,” katanya pada sidang media di Balai Raya Kampung Bestari Jaya, hari ini.
Terdahulu Hishammuddin bersama calon BN Parlimen Kuala Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz beramah mesra dengan penduduk pada Karnival Sukan Bola Sepak di Padang Bestari Jaya.
Jumaat lalu, Amirudin menyifatkan pembubaran Parlimen ketika musim banjir bagi mengadakan PRU15 sebagai satu kesilapan.
Amirudin mendakwa, musibah banjir yang berlaku bukan hanya menjejaskan kehidupan mangsa bahkan pegawai daerah yang terlibat dalam pilihan raya juga terganggu.
Dalam pada itu, Hishamuddin memberitahu, ketika parti lawan takut menghadapi PRU15, Amirudin secara ‘senyap’ sudah membuat persiapan untuk bertanding sebagai calon.
“Kita sudah pun bubar Parlimen, malah calon kita pun sudah kenal, tinggal beberapa hari sahaja untuk kita mengundi, teruskan sahaja pilihan raya ini,” katanya. – MalaysiaGazette