Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Pengguna My50 yang terkesan akibat penggantungan operasi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya akan diberikan tambahan perjalanan percuma selama tujuh hari.

Kemudahan itu akan diberikan apabila pengguna memperbaharui pas setelah tamat tempoh bermula 21 November hingga 20 Disember ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, pembaharuan pas boleh dilakukan di pejabat khidmat pelanggan di stesen LRT, Transit Aliran Massa (MRT), Monorel dan Transit Aliran Bas (BRT) dan pegawai khidmat pelanggan akan membuat pengesahan.

Katanya, bagi pelanggan pas My50 yang tamat tempoh di antara Isnin iaitu 14 November hingga Ahad, 20 November 2022, mereka boleh menggunakan pas seperti biasa tanpa sebarang caj dan pastikan mempunyai baki sekurang-kurangnya RM5.

Bagi pengguna kad Touch ‘n Go yang menggunakan perkhidmatan laluan Kelana Jaya pula, mereka boleh menggunakan kad itu dengan baki minimum RM5 seperti biasa.

Tiada caj dikenakan bagi tempoh Isnin, 14 November sehingga 20 November dengan syarat destinasi mula atau akhir adalah di mana-mana stesen laluan Kelana Jaya.

Tambang percuma juga turut diberikan kepada pengguna token yang menggunakan perkhidmatan laluan Kelana Jaya bagi tempoh yang sama.

Mohd. Azharuddin berkata, pengguna perlu ke pejabat khidmat pelanggan di stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT untuk mendapatkan token khas perjalanan sehala, dengan syarat destinasi mula atau akhir adalah di mana-mana stesen laluan Kelana Jaya.

“Prasarana dan Rapid Rail sekali lagi memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia, yang terkesan akibat gangguan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya.

Segala usaha akan diambil bagi memastikan gangguan seumpama ini tidak akan berulang,” katanya dalam satu kenyataan memperincikan pampasan yang diberikan kepada pengguna LRT laluan Kelana Jaya yang terjejas akibat peganggantungan operasi perkhidmatan itu.- MalaysiaGazette